Debaran

Gua kalau bab-bab nak berinteraksi dengan homosapien, memang lemah. Lagi-lagi kalau nak bagi ucapan dekat depan orang ramai, silap-silap mau jugak mati kejang. Malu. Segan. Gugup. Dan disebabkan sifat-sifat pemalu tak bertempat nih, gua memang tak layak untuk menjawat jawatan yang memerlukan gua berinteraksi secara intim dengan manusia lain.

Bekerja sebagai programmer sememangnya cocok dengan jiwa introvert gua. Gua bahagia bermain kod aturcara. Gua jadi bertambah asyik kalau dapat main internet. Youtube, Facebook, blog, Google+ memang jadi tempat melepak, secara maya. Orang moden, generasi Z. Cara melepak pun mesti lah cara. Trend melepak kat bus stand Raub tu, gua tak layan. Tak urban langsung.

Dan melalui internet, terutamanya Youtube, gua diperkenalkan dengan rancangan KL Got Talent. Rancangan yang menengahkan bakat-bakat terpendam masyarakat Malaysia. Tak kira lah nyanyian ke, tarian ke. Rancangan franchise yang diideakan pelopor hiburan rancangan realiti, Simon Cowell. Walaupun rancangan ni  gah di TV Malaysia, gua tak layan. Gua tak tonton tv, tambah-tambah semenjak perkhidmatan tv berbayar yang hanya bersiaran masa hari tak hujan tu, gua tamatkan. Mahal sangat yurannya. Tak berbaloi. Lagi pulak tv kat Malaysia banyak sangat buat tayangan seram dan tahyul, seawal jam 8 malam dah mula.Tiap-tiap hari lak tuh. Malas lah gua nak layan. Sebagai seorang nerdy yang sejati, untuk mencari hiburan bersifat hedonisme ni, gua layan atas talian je.

Menonton video-video KL Got Talent musim pertama, gua teruja. Prosesnya mudah. Hadiahnya pulak cukup lumayan. Peserta-peserta pun hebat. Yang penting, mesti ada bakat. Tapi pemenang musim pertama, gua rasa tak layak langsung. Gua tak mau cerita lebih, rezeki dia nak dapat nak buat camana. Dengar-dengar mamat yang menang tu, gadai hadiah kereta dia, semata-mata nak buat modal beli motor. Tak sampai seminggu, jatuh tergolek sampai rabak kepala lutut. Baru kejap tadi dia update kat Wall FB dia, "ari tu ai jatuh motor, lutut ai injuration. doktor said maybe kena masuk iron". Huh! Tu nak tagih simpati lah tuh. Keji sangat. English pun berterabur.

Dan gua pulak, kalau gua dah yakin gua boleh buat lebih baik, gua akan buktikan. Kalau kejayaan peserta musim pertama tu nak dijadikan penanda aras, bakat gua jauh berganda lebih baik. Sebab itu, tanpa gua war-warkan, wa register masuk KL Got Talent musim kedua.

Gua yakin.

Hari Rabu tu, giliran gua untuk pegi audition. Gua awal-awal lagi dah apply cuti. Mula-mula nak apply MC, maklumlah masih berbaki 14 hari dari 14 hari yang diperuntukan. Sayang kalau tak guna. Tapi disebabkan wa jugak takutkan dosa, gua jujur mintak cuti tahunan. Boss tak banyak tanya. Cuti lulus.

Dengan muka yang yakin, gua naik teksi ke tempat yang bakal merubah kehidupan gua. Gua memang yakin, paling koman pun gua masuk jadik finalist. Step step untuk persembahan gua nanti gua dah jenuh berlatih. Tanpa muzik pun gua boleh buat. Berkat usaha berlatih setiap hari, itu yang gua jadi yakin sangat hari bersejarah ni. Tapi, macam gua cakap awal-awal tadi, gua bukan lah mesra dengan khalayak. Jadi, keyakinan gua agak goyah bila mengenangkan gua akan membuat persembahan di depan juri.

Gua berdebar. Semakin dekat teksi dengan tempat ujibakat, debaran gua semakin kuat. Dan jantung gua seakan mahu meletup bila gua sampai ke tempat yang dituju.

Kosong. Tak ada orang.

Yang ada hanya sorang cleaner tengah menyapu tangga pejabat.

Gua cemas. Gua musykil. Gua yakin tarikh yang gua dapat untuk giliran gua memang hari ni. Dan alamat yang gua salin dari email pun, memang betul di sini.

Gua rapat ke akak cleaner. Mahukan kepastian.

"Kak, tumpang tanya. Yang ni betul ke kat sini kak?", gua tanya penuh sopan, sambil ulurkan kertas alamat yang gua salin.

"Betul lah dik. Betullah alamat tu"

Sah. Gua memang tak salah.

"Adik ni, datang untuk KL Got Talent tu ke?", akak cleaner cuba beramah mesra.

"Ha'ah. Mana akak tau?", gua cuba beramah mesra balik, walau debar di dada dah semakin laju.

"Alaaaa.. kalau baju dah lip lap macam nih, takkan nak pegi mintak kerja sini pulak kan?", akak cleaner cuba bersarkastik pulak.

Gua senyum. Cakak akak cleaner memang tak silap. Memang obvious pun aku sorang kat sini yang sakan bergaya.Ye, aku sorang je. Tak nampak peserta lain.

"Audition tu, tak jadi ke kak? Apesal takde orang pun kat sini? Tak ramai peserta ke?", gua tanya bertalu-talu.

"Jadi. Apa pulak tak jadi. Kamu tu je yang salah tempat."

"Salah tempat? Tapi tadi akak kata alamat tu betul.", gua mula panas. Akak cleaner ni nak main-mainkan gua nih. Ke dia nak buat prank Bang Bang Boom ngan aku?

"Alamat tu memang la betul dik. Tapi alamat tu untuk pejabat urusan, bukan tempat kamu nak buat ujibakat tu", akak cleaner jawab sambil tersenyum sinis.

"Habis tu? Kat mana sebenarnya kak?"

"Kuala Lipis. KL tu Kuala Lipis dik, bukan Kuala Lumpur". Akak cleaner sambung menyapu.

Gua kaget. CD minus one lagu "Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu" dalam genggaman gua jatuh ke bumi.


Siri bacalah lagi;
1- Rizal - http://gunx.blogspot.com/2011/07/cerpen-indie-12-debaran.html
2- Zalila - http://psittacula.wordpress.com/2011/07/27/cerpen-indie-12-debar-gila/





Reactions

Post a Comment

0 Comments