Bersederhana Mengikut Kemampuan

Tahun 2013, saya mula mengaktifkan diri dengan aktiviti lasak. Orang kata buang tabiat, tapi saya tahu saya perlu lakukannya.

Saya, pada waktu itu, bukanlah orang yang aktif. Jarang sekali saya berpeluh dek senaman ataupun aktiviti lain untuk mencergaskan badan. Tapi, hari itu, saya buat keputusan mendesak.

Saya ingat lagi, satu petang hujung minggu saya terpaksa menuruni bukit untuk memanggil anak-anak pulang selepas bermain. Secepat kilat, mereka berlari mendaki ke rumah kami, meninggalkan saya terpontang-panting di belakang.

Hip hap hip hap hip hap!

Sampai saja di depan pintu rumah, saya terduduk. Mengah yang amat, walhal jarak yang baru saya daki tak sampai pun 150 meter.

Teruk!

Saya terfikir, beginikah kualiti hidup yang saya mahukan? Anak-anak masih kecil, tapi saya tak menghormati kesihatan diri sendiri. Saya memberi contoh yang tidak baik kepada keluarga. Sejak hari itu saya nekad untuk "menaik taraf" kesihatan fizikal diri.

Tahun 2013 itu juga, saya berjaya mengelilingi Pulai Pinang sejauh 82 kilometer untuk acara CFAL.



Tahun 2015, saya menyertai acara larian 5 km yang pertama di Putrajaya. Selang tiga bulan, saya berlari untuk jarak 10 km pula di Setia Alam.

Tahun 2016 tahun gila.

Saya kayuh basikal dari Kajang menuju Port Dickson mencabar diri.

Saya menyertai larian Half Marathon yang pertama di Cyberjaya.



2017, saya mahukan cabaran baru.

Awal tahun, saya mendaki Gunung Datuk dan kemudian beberapa buah gunung lagi. Acara larian di atas jalan raya sudah sedikit membosankan, lalu saya cuba pula Trail Run di Hulu Langat.

Adrenalin sudah mencapai kemuncaknya!

Dan pada bulan Disember 2017 saya menjadi lebih gila dengan menyertai Janda Baik Ultra Run sejauh 30 km. Larian berbukit-bukau yang penuh penyeksaan, yang menagih semangat dan kekuatan seorang Sharulnizam.

Saya kecundang di kilometer yang ke-27.

Saya pitam dan diangkut ke dalam ambulan.

Allahu.



Selang beberapa bulan kejadian hitam itu,saya buat pemeriksaan kesihatan di Institut Jantung Negara.

Kata doktor, graf bacaan denyut jantung saya tak begitu meyakinkan.

Pendek cerita, saya diminta untuk menghentikan dahulu segala aktiviti lasak yang saya buat.

"Semua aktiviti, doktor?"

"Yang memerlukan endurance, jarak jauh macam marathon tu, atau yang ada time frame, hentikan dulu."

"Baik. Tapi short distance masih boleh kan? Macam 5 km? 10 km?"

"Boleh."

"Hiking?"

"Boleh."

"Baik."

"Bersederhana sahaja. Jangan mendesak."

Saya akur.

Sehingga hari ini, tidak ada lagi aktiviti yang benar-benar lasak saya sertai. Tidak ada lagi acara bulanan seperti tahun-tahun sudah. Sesekali, berjoging di sekitar kawasan perumahan atau di keliling pejabat. Hujung minggu, berlari kecil di taman permainan dengan Hafiz dan anak-anak yang lain. Atau bila sudah kemaruk, saya akan mengikut rakan-rakan mendaki gunung.

Bersederhana.

Kembali kepada tujuan asal saya mahu aktif. Saya sepatutnya kekal dengan niat mahukan tubuh badan yang sihat, bukan gila mencipta rekod peribadi.

Insya-allah.


Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#julyblogposts #july2019entries

Topik hari #15 : Sederhana






Reactions

Post a Comment

0 Comments