Dari Mata Turun Ke Hati

Biasa dengarkan bidalan lama ini? Dari mata turun ke hati, satu perumpamaan yang menggambarkan bagaimana sesuatu yang dilihat (mata) akhirnya bisa membikin rasa cinta itu mekar.

Tak semestinya perasaan antara seorang lelaki dan seorang perempuan. Boleh jadi juga rasa kasih pada haiwan, pada alam atau apa saja.

Saya?

Melihat dari "mata" kamera, menjadikan diri lebih menghargai manusia dan mencintai alam semesta. Kamera menunjukkan perspektif yang lain berbanding pandangan mata kasar. Kamera membolehkan kita melihat dengan lebih terperinci akan sesuatu benda, seperti urat-urat daun yang berselirat atau sesungut bunga Raya. Kalau dilihat secara "makro", pasti akan terbit rasa kagum akan kehebatan ciptaan Allah yang selama ini ada di depan mata tapi tak pernah kita ambil pusing kewujudannya.

Dengan "mata kamera" ini, kita akan diajar untuk lebih menghargai apa yang ada di sekeliling.

Dan sudah tentu, hujungnya akan kembali menghubungkan diri dengan kekuasaan Yang Maha Esa. Diri akan terasa benar-benar kerdil melihat betapa telitinya setiap makhluk yang tercipta.

Subhanallah.

Sejak bermain dengan kamera, entah berapa kali saya jadi khayal melihat seni alam yang terbentang luas.

Ambil saja contoh di bawah ini.

Gambar pertama ini ialah pemandangan yang biasa sahaja. Semak samun di tepi jalan yang selalunya menyakitkan mata.



Gambar kedua, saya hampiri semak belukar ini dan kemudian merendahkan badan dan biarkan mata separas dengan bunga-bunga liar yang sedang kembang di dalam semak itu.



Gambar seterusnya, mata mula terlatih untuk melihat lebih kecantikan yang tersembunyi pada awalnya.



Ah!

Bukankah ini juga satu pengajaran hidup?

Kita hanya melihat dari jauh, lalu menyimpulkan dengan mudah bahawa "semak itu buruk dan menyakitkan mata".

Tapi, sekiranya kita mengambil sedikit masa untuk menghampiri dan hidup bersama, ada kecantikan-kecantikan tersorok yang bisa membuatkan kita terpana dan terpegun.

Begitulah bagaimana hobi mengambil gambar ini, memberi "pulangan pelaburan" yang tak pernah saya sangka.

Dari mata turun ke hati!



Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#julyblogposts #july2019entries

Topik hari #26 : MATA






Reactions

Post a Comment

0 Comments