Nasi Putih, Sardin, Sambal Hitam Dan Serunding Di Hallstatt

Petang itu kami baru tiba di Hallstat setelah memandu jauh dari Salzburg. Sepanjang perjalanan, hujan menemankan kami. Cuaca musim luruh yang sedia sejuk, bertambah dingin sehingga mencengkam tulang.

Sementara menanti hujan reda, kami parkir di satu kawasan yang diapit gunung tinggi di kiri kanan. Kabus bagaikan selimut nipis melatari pemandangan yang sangat mempersonakan. Saya khayal dengan ciptaan Yang Esa, tak pernah gagal membuatkan saya mendecap kekaguman.

Subhanallah.

Gerimis di tanah Austria yang terpencil ini masih setia membasahi bumi.

"Kita makan dulu di sini, sebab kita belum boleh check in homestay lagi."

Makan.

Ah!

Saya ini, tekaknya sangat totok melayu. Makan makanan gaya Eropah, saya cepat muak dan patah selera. Kebab Turki yang serba masin dan tawar, cukup sekadar melapik perut. Menikmatinya jauh sekali.

Tapi perut tetap perlu diisi. Tambah lagi dalam keadaan cuaca yang sejuk membeku ini.

"Kita makan apa, Hawa?"

"Kita makan nasi, lauk sardin dengan sambal hitam dan serunding, angkel. Ok tak?"

Hawa, gadis Muar yang sangat keibuan memaklumkan menu makan tengah hari itu. Ada waktunya kami (tim gegirl) akan memasak dan membawa bekal, ada waktunya makan di kedai sahaja.

Sambal hitam? Saya tak pernah makan.

Serunding? Biasa.

Sardin. Nikmat kalau dihidang panas dari kuali.

Nasi dihulur.

Allahu.

Sejuk, macam baru dikeluarkan dari peti ais! Cuaca sejuk dan nasi sejuk, mana masuk!

Saya ambil sesuap dan mengunyah perlahan. Tawar. Ada suara mogok kedengaran dari tenggorok.

Ah, diam!

Ini bukan masanya untuk memilih-milih.

Saya perbetulkan posisi duduk di dalam van, kemudian saya colek sedikit sambal hitam, hidangan asli orang Pahang.



Eh! Sedap. Pedasnya pun cukup.

Saya kepal lagi nasi, sambal hitam dan secubit besar serunding ayam.

Ya Tuhan!

Mata saya terpejam menikmati setiap gigitan dan kunyahan dalam mulut saya yang penuh.

Itulah saatnya, saya memgiktiraf nasi sejuk yang paling sedap di dunia. Dan turut meraikan saat gemilang itu, sang pelangi muncul menambah warna.



Di Hallstatt, bulan Oktober tahun 2017.

Alhamdulillah.



Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#julyblogposts #july2019entries

Topik hari #16 : Nasi






0 comments:

Post a Comment

My Instagram