Puasa & Raya Dulu-dulu #1 | Ramadan Tiba!

Suasana dalam rumah menjadi kecoh tiba-tiba. Kami adik-beradik berebut berkumpul di hadapan tv berjenama Singer yang bersaiz 14 inci itu. Kain cebek merah jambu yang emak kait sendiri untuk dijadikan alas tv, kami selak dan himpitkan dengan pasu bunga kecil agar skrin tv jelas tanpa gangguan.

Mak mengintai dari balik tirai, dengan sudip di tangan. Ada masakan yang terjerang di dapur, tak berani mak nak biarkan tanpa pengawasan.

Abah tersandar di kerusi, tenang memerhati. Asap rokok Rothman berkepul-kepul di udara menjadikan ruang sedikit kepam dengan bau tembakau.

Kami empat beradik sudah teruja menunggu pengumuman tarikh permulaan puasa manakala sibongsu masih nyenyak di buaian. 

Berdebar.

Pakcik yang muncul setahun tiga kali itu (sewaktu pengumuman puasa, raya dan aidiladha), sudah duduk segak di atas kerusi. Manalah saya tahu dia tu siapa. Saya fikir, tentulah orang yang bekerja di syarikat televisyen. Warna baju melayu dan kain sampingnya pun saya tak ambil kisah. Yang penting waktu itu, bila Ramadan bermula?

Dan kata-kata keramat itu pun muncul.

"...Maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari esok..."

Mak kembalik ke dapur. Abah masih mengukir langit dengan asap rokok. Kami berempat sudah tersenyum-senyum.

Tak lama dah lagi nak raya!

Puasa & Raya Dulu-dulu #1 | Ramadan Tiba!
Sumber gambar; https://ismaweb.net/






Reactions

Post a Comment

0 Comments