Mengimbau Kenangan Hidup Di MRSM Muar

13 JAM!

Gombak - Johor Bharu - Gombak. 

Bertolak dari rumah seawal jam 5 pagi, selamat sampai semula di depan pintu disambut taring Tambi pada jam 6.30 petang.

Walaupun penat, Alhamdulillah semuanya selesai dan selamat.

Hari ni kami empat beranak ke Johor Bharu disebabkan urusan sekolah Nur Hanis. Memandangkan kakak F5 akan mula bersekolah lagi 2 minggu, SOP sekolah berasrama terpaksa dipatuhi. Bilik adik-adik junior akan digunakan, maka segala barang-barang peribadi diambil untuk disimpan.

Jam 11 pagi, urusan pun selesai.

Alang-alang sudah jauh berjalan dan "merdeka" daripada PKP sekian lama, kami bercadang mahu de tour mencari durian Johor yang sedang galak berbuah sekarang ini. 

Hanya satu tempat yang terlintas dalam fikiran.

Muar.

Selain daerah ini dekat dengan lebuhraya dan sering disebut orang tentang duriannya, tentulah terselit agenda kecil yang licik untuk memenuhi cita-cita saya yang terpendam sekian lama.

Saya mahu singgah ke sekolah yang pernah saya duduki sekitar 25 tahun yang lalu!

MRSM Muar, nun di Pekan Bakri.

Maka dari lebuhraya PLUS, saya keluar di Yong Peng mengikut arahan Google Map. Sambil mata melingas melihat kiri dan kanan mencari durian, saya berdebar memikirkan sebentar lagi bakal berjumpa dengan sekolah yang menyaksikan kegemilangan rambut belah tengah saya.

Sebaik saja melintasi kawasan perkuburan Cina yang rimbun dengan frangipani, saya tahu saya sudah dekat dengan Pekan Bakri. Jirat ini pernah menjadi saksi satu ketika dahulu saya berlari merentas desa di sisinya. Dari balik rimbunan pokok dan batu nisan, saya nampak tangki air yang kalau tak silap terletak dekat dengan asrama puteri. Saya memandu terus. 

Wah!

Ada lampu isyarat. 

Pagar sekolah yang cantik.

Padang yang sudah rata menghijau. Ada astaka tegak gagah berdiri. Di kiri kanan sekolah, sudah diapit dengan rumah kedai yang moden.

Ah!

Blok akademik 2 tingkat, tempat kelas saya selama dua tahun di aitu pun nampak dari kejauhan di tepi padang.

Gembira. Teruja. Sayu. Hiba. Bergaul.

Malang sekali tak dapat pula saya ke dalam, atas sebab PKPP yang berkuatkuasa. Jadi, saya hanya berlegar di sekitar pondok pengawal dan berbual-bual bersama kakak yang bertugas.

25 tahun lalu kali terakhir saya menjejak kaki ke dalam sekolah ini, selepas mengambil keputusan SPM. Selepas itu, sudah tidak ada Johor dalam catatan diari.

Banyak kalau mahu dikenang, tapi cukuplah hari ini dapat menyentuh pagar sekolah yang banyak mengajar tentang permulaan hidup.

Terima kasih, MARA.

Terima kasih, MaReSMa Muar.

Moga ada peluang berjumpa lagi, Insya-allah.

Mengimbau Kenangan Hidup Di MRSM Muar
Mengimbau Kenangan Hidup Di MRSM Muar
Mengimbau Kenangan Hidup Di MRSM Muar
Mengimbau Kenangan Hidup Di MRSM Muar
Mengimbau Kenangan Hidup Di MRSM Muar
Mengimbau Kenangan Hidup Di MRSM Muar
Mengimbau Kenangan Hidup Di MRSM Muar
Mengimbau Kenangan Hidup Di MRSM Muar
Mengimbau Kenangan Hidup Di MRSM Muar



______
Sharulnizam Mohamed Yusof
No maktab 93/151 (kot)






0 comments:

Post a comment

My Instagram