Bagaimana Mahu Mengubah Gaya Penulisan Bahasa Melayu Kepada Yang Lebih Baik?

Semasa saya mula menulis blog sekitar tahun 2000 dulu, bahasanya sangatlah 'hauk' bak kata orang sekarang. Tunggang-langgang daripada segi penggunaan tatabahasa, termasuklah pemilihan perkataan. Boleh tengok antara entri yang masih saya simpan (masa nak jemput orang datang kenduri kahwin saya dulu); Ops Talipon katanya.

Kah kah kah! 

Hancur luluh perasaan cikgu Bahasa Melayu kalau baca karangan merapu saya tu.

Kemudian dunia diperkenalkan dengan media sosial, dipendekkan cerita saya pun terjebak ke alam Facebook yang lebih trendy. Bertemu semula dengan rakan-rakan yang sudah lama terpisah membuahkan perbualan maya yang meriah. Bahasa? Bercampur-aduk, semborono dan langsung tak ikut bahasa standard.

Makin lama jumlah rakan saya semakin bertambah dan banyak perkongsian ilmu yang bermanfaat saya peroleh. Antara yang sangat memberi kesan kepada saya ialah saranan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT), yakni susunan ayat yang lebih betul tatabahasanya, pemilihan perkataan yang lebih tepat dan akhirnya akan menyerlahkan kebijaksanaan penulis itu sendiri.

Perlahan-lahan saya merubah cara penulisan dan akhirnya inilah gaya penulisan saya hari ini. Berbeza tak dengan entri pertama saya dulu?

Orang kata, tulisan BMT ni tulisan buku teks.

Terpulang mengikut definisi masing-masing. Untuk saya sendiri, kalau buat carian di internet dan terjumpa jenis penulisan seperti apa yang saya pernah hasilkan sekitar 20 tahun dulu, saya abaikan. Tak larat nak “terjemah” perkataan-perkataan dan ayat yang sudah cacat serba-serbi. 

 

Bagaimana mahu menulis dengan baik? 

Orang bertanya juga, bagaimana mahu menulis dengan baik? Terus-terang, saya bukan orang yang boleh dirujuk kerana penulisan saya juga masih kaku dan terbatas. Tapi yang paling mudah saya katakan ialah bermula dengan menulis ayat-ayat pendek, menulis tentang fakta dan tentulah berkisar perkara yang kita tahu.

Untuk penguasaan perkataan, banyakkanlah membaca.

Benar. Ada masa tertentu saya pun ada kesukaran mencari perkataan yang bersesuaian. Terlalu kerap berulang, jadi membosankan. Atau menggunakan perkataan yang jarang diguna (bombastik), orang tak faham! 


DewanEja

Baru-baru ni saya diperkenalkan dengan satu aplikasi bernama Dewan Eja. Aplikasi ini merupakan kamus bahasa Melayu yang boleh di install ke dalam laptop, dan kemudian menjadi plugin ke dalam perisian Microsoft seperti Word. Ini yang pertama seumpamanya yang saya tahu, tak pastilah jika sudah wujud aplikasi yang sama sebelum ni. 

DewanEja11
DewanEja11


Apa yang boleh DewanEja lakukan?

  1. Seperti telefon pintar kita yang akan mencadangkan perkataan-perkataan tertentu sewaktu kita masih menaip, fungsi yang sama juga ada untuk DewanEja ini iaitu “AutoPrediction”. Kita boleh memilih untuk menyahaktifkan fungsi ini jika mahu. Bagusnya, kadang-kadang kita dapat belajar perkataan baru tanpa disedari.
    DewanEja11
  2. AutoComplete yakni melengkapkan ejaan perkataan secara automatik. Apabila perkataan yang dicadangkan oleh AutoPrediction keluar dan kita mahu menggunakannya, tekan saja butang “Tab” dan terus saja perkataan itu dicetak pada skrin. Jimat masa di sini.
    DewanEja11
  3. Translator. Biasalah, kadang-kadang sudah terbiasa menggunakan bahasa Inggeris kita lupa apa perkataan yang tepat dalam bahasa Melayu. Taip saja perkataan tu, right-click, tekan pada pilihan “Translate”, satu skrin muncul di sebelah kanan dan cadangan terjemahan akan dipaparkan. Oh ya! Bahasa lain juga ada ya, tak terhad kepada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris saja.


Siapa yang patut gunakan DewanEja?

Asalnya saya mahu cadangkan untuk golongan pelajar atau sesiapa saja dalam bidang akademik. Tapi saya fikir, sesiapa saja yang terlibat dalam penghasilan content (seperti blog, posting media sosial) patut menggunakan DewanEja ini.


Bagaimana mahu menggunakan DewanEja?

Klik pada pautan berikut: https://bit.ly/dewaneja_sharul


Kekurangan DewanEja

Oleh sebab aplikasi ini masih baru, terdapat beberapa kekurangan yang saya fikir perlu dipulihbaik.

  1. DewanEja yang saya gunakan ini ialah versi perisian komputer riba. Jadi untuk “menyemak” penulisan bahasa Melayu saya perlu duduk di atas kerusi, buka komputer dan menaip dalam Microsoft Words untuk tujuan itu. Zaman sekarang, komputer riba (dan komputer meja) hanya digunakan oleh orang pejabat, pelajar dan mungkin orang akademik. Sebab itu pada awalnya saya cadangkan golongan ini saja. Untuk pembina content, masa sangat penting dan capaian pada telefon pintar atau tablet lebih mudah dan pantas. 
  2. Saya ada cuba juga mencuba versi plugin untuk pelayar. Cubaan saya pada pelayar Firefox agak mengecewakan. Antara muka (terutama arahan) agak mengelirukan. 
  3. Ada beberapa terjemahan perkataan yang kurang tepat. Contohnya third, cadangan terjemahan yang ada ialah diheret, diratah dan hadirat. Bukankah maksudnya “ketiga”? Plugin pula merujuk pada PRPM, terjemahan terdekat ialah palam, ada sesetengah laman web menggunakan “pemalam”. Tapi untuk DewanEja, terjemahannya masih “plugin”. 
  4. Penggunaan kata sendi “di” tak disemak sebaiknya. Sama ada perlu dijarakkan atau tidak, tidak ada cadangan pembetulan. Sebagai contoh, "di pukul" patut dirapatkan. Begitu juga penggunaan dari dan daripada. Sebagai contoh, baju itu merupakan pemberian dari isterinya. Sepatutnya “daripada”. 
  5. Tatacara penggunaan aplikasi ini perlu diperbaiki arahan dan panduan sedia ada. Pada peringkat permulaan ada sedikit kekeliruan untuk memahami langkah yang perlu diambil.


Ini adalah sedikit sebanyak maklum balas yang saya temui setelah menggunakan DewanEja selepas beberapa minggu.

Sebenarnya aplikasi ini sangat besar manfaat (dipandang secara keseluruhan) untuk membantu penguasaan bahasa Melayu yang lebih standard. Penulisan yang menggunakan bahasa lebih tepat daripada segi struktur, perkataan akan lebih memudahkan pemahaman pembaca. Jangan terkejut, zaman Google ini penulisan bahasa Melayu kita boleh diterjemah dengan mudah oleh orang serata dunia menggunakan Google Translate. Rugilah kalau penggunaan bahasa kita caca-marba dan akhirnya hanya seperti “syiok sendiri”.

Jom kita hasilkan penulisan yang bersifat malar segar.

p/s; Malar segar kalau tak silap terjemahan kepada evergreen!







Reactions

Post a Comment

1 Comments