Bajet 2015

Sekarang, Malaysia sidang bersidang. Perdana Menteri sedang membentang isi kandungan belanjawan negara untuk tahun 2015.

Seperti biasa, ada suara-suara sumbang.

Aku juga.

Bukan aku membantah semuanya. Mana yang baik, teruskan sahaja. Untuk kebaikan semua. Tetapi yang masih membebankan, tentulah ada sedikit rungutan.

Manusia. Aku juga manusia, kawan.

Dan, Whatsapp menjadi tempat luahan rasa.

Jika ada yang menjustifikasikannya dengan fakta, mungkin aku dapat menerima. Atau setidak-tidaknya dengan jawapan yang logik diterima akal. Iyalah, aku bukan pakar ekonomi. Hanya orang marhaen yang kadang-kadang melihat secara mukanya sahaja. Tidak faham apa disebalik setiap perancangan pemimpin negara.

Tetapi, respon "syukurlah dengan apa yang ada" sangat menyentap rasa. Sepertinya aku ini tidak tahu bersyukur. Tamak. Pentingkan diri sendiri. Mungkin bukan itu yang dimaksudkan sahabat (dan aku yakin dia ikhlas dan tidak sekejam itu), dan mungkin pula aku yang terlebih-lebih terasa hati, aku masih gagal menerima itu sebagai jawapan.

Bersyukur. Apa maksudnya? Sudah ada, cukuplah. Jangan lagi haloba. Begitu?

Ah! Mudahnya hidup kalau begitu.

Betul. Segala nikmat Allah kita harus berterima kasih. Dan dinikmati seadilnya. Tetapi kita juga disuruh untuk berubah, memperbaiki diri ke satu tahap yang lebih baik. Bersiap sedia untuk hari yang mendatang, lebih-lebih lagi untuk di alam kekal sana.

Ibarat sudah ada pekerjaan, syukurlah. Masih ramai yang belum mendapat kerja.

Ya, benar sekali kita perlu bersyukur. Aku tidak menidakkannya. Cuma, tidak bolehkah kita mahukan yang lebih baik? Pangkat yang lebih baik, gaji yang lebih baik, ruang lingkup kerja yang lebih baik. Dan kita tahu, kita mampu dan layak untuk mendapatkan semua itu (dengan izin Allah). Tetapi, beralasan dengan "syukurlah dengan apa yang ada", ke mana arah tuju yang kita mahu pergi sebenarnya?

Aku ada alasan aku sendiri apabila aku katakan kita perlu lebih ke hadapan, lebih bersedia untuk masa akan datang. Pengalaman hidup banyak mengajar.

Dan setelah aku bermuhasabah diri, aku akur luahan ini berpunca daripada perbezaan. Ya, perbezaan pendapat berpunca daripada perbezaan latar belakang. Pendidikan, pengalaman hidup. Lain orang, lain tafsirannya.Jadi, aku harus ikhlas menerima pendapat yang berbeza.

Terima, tidak semestinya bersetuju.





Reactions

Post a Comment

0 Comments