Juling Mata Melihat Kain Sari Di Janpath Street

Dari Qutb Minar, kami ke lokasi seterusnya.

Membeli-belah.

Oh tuhan! Selama empat hari aku di bumi Delhi, agenda membeli-belah ini terselit hampir setiap hari. Bertabahlah.

Dan ini, sesi yang pertama.

Walaupun masih kepenatan, rasa teruja berada jauh di rantauan melenyapkan rasa itu. Di dalam van, aku memerhati lagi sekeliling Delhi.

Macet, itu lumrah.

Kotor dan kemiskinan, sama seperti di dalam filem yang ditonton.

Tetapi yang sebenarnya, masih ada yang cantik. Masih ada yang baik. Terpulang kepada diri, apa yang mahu dilihat.

Dan, selepas seketika kami pun tiba di sebuah kedai.

Sepeti kedai kain di deretan Jalan Tunku Abdul Rahman. Cuma ianya lebih besar dan luas.


Tebaran Sari

Ya. Tebar. Sama seperti menebar roti canai. Cuma yang ditebar di hadapan kami sekarang, segala macam warna dan corak kain sari. Berhelai-helai. Di kedai yang kami kunjungi ini, kami dilayan khas gaya Delhi. Kami semua dikumpulkan dalam sebuah bilik, dan pekerjanya yang tidak ada seorang pun perempuan, kukuh bersila menggoda memujuk. Sebut sahaja warna apa, corak yang bagaimana, semuanya ada. Kalau tidak ada, akan diada-adakan.

Sebu.

Aku sudah mula muak. Lalu aku kuis sibuah hati, aku katakan aku mahu mencari kurta. Ya, baju kurta yang sangat beridentitikan India, Pakistan dan sekitarnya. Aku mahu bergaya. Gaya Bollywood. Mahu kelihatan tampan seperti Rahul, yang segak berkurta hitam ketika menyanyi dan menari di malam perkahwinan Rukhsaar. Anjali, gadis pujaan Rahul yang garang berbaju kuning, sampai terpegun melihat.

Ah! Kau bukan tahu pun ini adegan filem apa.

:P

Setelah belek-membelek, tawar-menawar. Sehelai kurta coklat berpindah milik. Syah juga sudah dapat satu berwarna ungu. Esok, ya esok. Rahul dan Anjali Malaysia ini akan bergaya Bollywood!
Juling Mata Melihat Kain Sari Di Janpath Street
Juling Mata Melihat Kain Sari Di Janpath Street


Janpath Street

Selesai di situ, agenda kami diteruskan ke Janpath Street yang sebenar. Tidak sempat aku rakamkan gambar sekitar, kerana aku tidak tahu bagaimana penerimaan orang-orang di situ (kalau gambarnya diambil). Sebagai langkah berhati-hati, aku simpan sahaja kamera di sisi. Dan kemudian ke hulu dan ke hilir di sekitar pasar. Tidak ubah seperti Uptown di Danau Kota. Banyak dijual barang-barang pakaian dan hiasan, dari atas sehingga ke bawah. Aku tertarik dengan kemeja (untuk ke pejabat) yang hanya dijual longgok. Harganya juga agak murah, sekitar RM15-RM20. Tidak pula aku beli, sebab tidak diketahu kualitinya bagaimana. Iyalah, untuk ke pejabat. Biarlah yang berkualiti dan tahan lama. Aku bukan jenis membeli baju setiap tahun. Baju-baju pejabat yang ada di almari, ada antaranya berumur hampir 10 tahun!




Kami kembali semula ke van tepat seperti waktu yang telah dijanjikan. Aku dan Syah sempat juga mencari fridge magnet (yang berat!) sebagai ole-ole untuk keluarga di tanah air.

Juling Mata Melihat Kain Sari Di Janpath Street



Ngeri

Dalam perjalanan pulang, kami dibawa "berjalan-jalan" oleh pak supir. Aku lupa namanya. Mulutnya ramah bercerita, tetapi aku tidak menumpukan perhatian. Sempat juga ditunjukkan dari dalam van bangunan Lotus Temple, sebuah kuil yang berbentuk seperti bunga lotus. Besar. Aku ada menyenaraikan kuil ini sebagai salah satu destinasi untuk dilawati, tetapi hasrat itu hanya terpendam di atas kertas. Lagipun, hari sudah semakin lewat dan kami perlu segera pulang ke hotel.

Perhatian kami tertumpu kembali ke jalanraya. Melihat-lihat sekeliling sambil mengharungi jalan yang sesak. Dengan udara luar yang berkuap dan berdebu.

Saat inilah, aku dan Syah terpandang adegan ngeri yang menjadi titik hitam dalam sejarah hidup kami.

Di tepi jalan, lelaki itu, yang berbaju kemeja lengan panjang, tegak berdiri sedikit mengiring antara dinding di tepi jalan dan laluan jalanraya.

Jelas.

Sangat jelas.

Anunya yang hitam terjulur panjang, menyebarkan bahan kumuhan berwarna oren ke permukaan dinding. Ya. Maaflah. Memang sangat jelas. Syah menjerit, malu. Dan aku yang mulanya sama terkejut, terkekeh-kekeh ketawa. Dan pemandangan ngeri ini, bukanlah sekali ini sahaja.

Bertabahlah.

Ini kebiasaan mereka.

Moga-moga, tidak ada "ketumbit" yang tumbuh.

Ngeri!


Untuk itinerari penuh kembara saya ini, boleh rujuk di entri Itinerari Percutian Ke New Delhi, India 4 Hari 3 Malam








Reactions

Post a Comment

0 Comments