Snorkeling Di Pulau Mabul, Menginap Di Amina Holidays Resort

Hari ketiga di Semporna, kami berpindah ke destinasi utama pakej iaitu Pulau Mabul. Selesai bersarapan, kami bertolak dengan bot yang disewa khas untuk pakej. Sedari awal kami dipesan untuk siap berpakaian untuk aktiviti snorkeling, sebab itu aktiviti pertama di Pulau Mabul nanti.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam. Saya rasa sangat bertuah kali ini dengan keadaan laut yang sangat tenang sepanjang perjalanan menaiki bot selama empat hari. Tak langsung terhoyong-hayang ke kiri kanan, berbanding ketika saya ke Pulau Mantanani setahun sebelum tu. Memang boleh buat mabuk!


Sunroof Point

Sebaik selesai meletak barang-barang di resort, kami pun bergerak menuju ke lokasi snorkeling yang kedua; sunroof point. Letaknya tak jauh pun dari resort kami, memang nampak jelas dari bot. Tetapi kedalaman laut memang ketara melalui warna air. Di bahagian yang jelas nampak koral dari permukaan, kedalamannya sekitar 4 meter. Di sebelahnya yang lebih gelap, nun jauh ke dalam sekitar 25 meter!

Saya turun ke laut dan berpaut pada pelampung yang dipandu oleh kru pakej; Ikhwan. Ikhwan orang Bajau kalau tak silap saya, jadi aktiviti air sebegini sudah menjadi kebiasaan.

Sebaik masuk ke dalam air, kami semua merendam kepala dan menonton siaran alam yang menakjubkan. Walaupun agak keruh dan gelap, tapi aktiviti dalam air masih dapat dilihat dengan jelas.

Saya, Hafiz dan umi benar-benar menikmati snorkeling kali ini. Lebih mengujakan, kami dengan jelas nampak 10 ekor penyu (atau lebih) berenang-renang di dalam air. Yang besar, yang kecil semuanya ada. 

Jauh juga kami meneroka berbanding kumpulan yang lain, jadi tak hairanlah kami lebih banyak melihat berbanding yang lain.

Snorkeling di Pulau Mabul
Snorkeling di Pulau Mabul
Snorkeling di Pulau Mabul
Snorkeling dengan penuh gaya


Sipadan Resort

Kami kemudian menuju ke lokasi snorkeling terakhir berhampiran dengan Sipadan Resort. Harga per malam di resort ini seperti yang dimaklumkan mencecah RM600, kalau saya tak silap dengar.

Kali ini saya tak turun ke laut, kerana sudah mula terasa mabuk. Olang-aleng ombak semasa snorkeling sebelumnya membuatkan saya mual. Di atas bot, saya dan beberapa orang yang lain bersembang kecil. Bagaimana PKP memaksa mereka (kru) mencari perkerjaan lain untuk menampung perbelanjaan hidup dan strugglenya mereka sepanjang dua tahun itu.

Memang tak dinafikan aktiviti pelancongan menerima impak paling teruk. Di mana-mana pun begitu. Jadi, sama-sama lah kita bantu naikkan semula industri ni terutamanya di dalam negara.

Hafiz dan umi turun ke laut untuk snorkeling. Kata umi, di sini pun tak kurang menarik. Ikan-ikan lebih banyak dan tak takut untuk mendekat. Warna-warni dan comel.


Amina Holidays Resort

Akhirnya kami selesai segala aktiviti air dalam pakej ni dan bergerak ke resort untuk check in di Amina Holidays Resort. 

Bilik yang disediakan sangat selesa untuk kami tiga beranak. Lengkap dengan keperluan asas, namun air paipnya agak perlahan. Untuk mandi, masih boleh bertahan. Tapi bila mahu 'mencebok', tersiksa sikit.

Resort ini dibina di atas air, namun tak lah jauh ke tengah laut. Dekat benar dengan darat, dan dekat benar dengan perkampungan orang Bajau sebelah menyebelah. Maaflah, pemandangan sekeliling agak mengecewakan bila terlihat sampah sarap terapung/tenggelam di dalam laut. Air yang jernih menyebabkan sampah-sampah ni jelas kelihatan.

Namun bila tiba waktu matahari terbenam, Masya-Allah, cantik tak terkata.

Amina Holidays Resort
Amina Holidays Resort
Amina Holidays Resort
Keadaan di dalam bilik



Sunset Di Mabul

Saya nekad mahu merakamkan moment sunset di sini, semenjak menonton gambar-gambar dan video yang dikongsi di internet.

Perasaannya memang tak terucap.

Saat matahari semakin hilang, saat cahaya semkin redup, jelas pada mata saya melihat anak-anak Bajau masih 'merayau' di atas bot di sekitar resort. Masih kecil, malah masih kecil berbanding Hafiz yang berusia 9 tahun.

Ada rasa belas, ada rasa cemburu.

Belas kerana kehidupan mereka yang agak 'mundur' pada ukuran material, dan cemburu pula kerana mungkin kekurangan itulah nikmat kebahagiaan mereka yang tak terbanding.

Siapa kita untuk mengukur kegembiraan orang lain?

Sayup-sayup kedengaran azan Maghrib berkumandang, segera saya beredar untuk menunaikan kewajipan yang hakiki.

Sunset Di Mabul
Sunset Di Mabul
Sunset Di Mabul
Sunset Di Mabul
Sunset Di Mabul
Masya-Allah


Lobster Butter Milk

Malam itu makan malam kami terakhir. Selain hidangan pakej yang standard, hampir semua peserta membuat pesanan tambahan; lobster. Masing-masing sudah menyimpan perut mahu menikmati lobster segar. Maskan Lobster Butter Milk memang pilihan yang tepat, kerana masakannya memang sedap. 

Orang kata, rugilah makan seafood segar dengan masakan sebegitu. Kata orang lagi, seafood segar makan secara rebus saja barulah dapat dinikmati kesegaran daging yang manis.

Saya tak peduli. Asalkan sedap untuk ditelan, semuanya saya bedal.

Lobster ini, harganya bergantung kepada berat dan jenis. Upah masak pula berasingan. Untuk kami tiga beranak, hampir RM140 juga perlu dibayar.

Mahal? Ya, memang terasa juga. Tapi tak mengapalah, 40 tahun sekali!

Heh!

Sebaik selesai makan, kru pakej kami yang sememangnya suka menyanyi, menghiburkan kami di dewan makan dengan bermacam-macam lagu. Ada lagu lama, ada lagu baru.

Meriah.

Tak terasa sebenarnya sudah tiga malam kami di sini.

Lobster Butter Milk
Lobster Butter Milk
Lobster Butter Milk
Lobster Butter Milk
Lobster Butter Milk






Reactions

Post a Comment

0 Comments