Antara Menunggu Giliran Dan Menunggu Jemputan

Sabtu, 22 November 2026.

Hari itu hari pertama kami menghadiri kursus asas haji anjuran Tabung Haji. Sudah masuk minggu kelima sebenarnya, baru kami diberi kesempatan untuk kembali bersila untuk memantapkan ilmu haji.

Dengan skuter merah yang berjasa, saya dan puan isteri bergegas keluar dari rumah selepas perut diisi dengan sarapan.

Di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak kami menyelit di celah-celah jemaah yang berseri-seri mukanya. Riak wajah bagai esok hari sudah boleh menjejak tanah suci untuk berwukuf, berkusut-masai di hari Arafah. 

Glowing, kata orang sekarang.

Ada tua, ada muda.

Entah mana yang memang sudah mendapat tawaran, entah siapa yang masih merayu seperti kami. Mungkin abang berbaju kurta biru laut yang tersandar di sudut masjid, sama seperti saya pada tahun-tahun lalu. Sedang menunggu keputusan rayuan, tetapi bersemangat menyiapkan diri dengan pengetahuan asas tentang haji.

Kuliah berlangsung. Saya menguis-nguis permaidani dengan jari, sambil telinga terus mendengar. Sesekali sila bertukar kepada simpuh, disebabkan kaki kelenguhan. Langit masjid terbuka luas, membuatkan ruang solat nampak lapang dan selesa. Ustaz yang mengajar, rancak dengan perkongsian pengalaman-pengalaman beliau menunaikan haji.

Saya tersenyum. Sesekali tertawa. Ada juga hati menjadi jengkel dengan topik yang saya rasa tak perlu pun diulang berkali-kali. Jenis anak murid kurang sabar. Haih!

Jam 12.00 tengah hari, kami pun pulang selepas empat jam mengimbau semula ilmu yang sudah sekian lama ditinggal.

Hari-hari berikutnya, saya meneruskan rutin kehidupan seperti biasa. Dari pagi sampai ke petang, berkerja membanting tulang mencari rezeki nun di Cyberjaya. Sewaktu skuter merah yang setia membawa saya melintasi lebuh raya SPE, fikiran sesekali menerawang tentang haji.

Benar, saya memang sungguh-sungguh mahu ke sana. 

Namun tetap saya mengingatkan diri, hal haji ini adalah hal jemputan. Kalau ada rezeki kami, ada lah. Harus tahu mengawal rasa, mengingatkan diri bahawa rayuan kami mungkin saja ditolak seperti tahun-tahun sebelumnya.

Usaha, sudah dibuat. Sudah merayu, belanja sudah disediakan. Insya-Allah, ada.

Doa, terselit hampir setiap kali selepas solat. Kadang-kadang, di atas skuter pun sempat merayu-rayu.

Dan kita bertawakal sajalah pada akhirnya.

Usaha, doa dan tawakal.

Dan entah doa siapa yang dimakbulkan.


Kursus Asas Haji (KAH) 1447H Di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak
Kursus Asas Haji (KAH) 1447H Di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak
Kursus Asas Haji (KAH) 1447H Di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak
Kursus Asas Haji (KAH) 1447H Di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak
Kursus Asas Haji (KAH) 1447H Di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak
Kursus Asas Haji (KAH) 1447H Di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak







Reactions

Post a Comment

0 Comments