Rayuan Haji II

Khamis, 13 November 2025. 

Jam 12.33 tengah hari.

Gegaran telefon menandakan ada notifikasi daripada aplikasi yang saya tak tahu mana satu.

Saya hidupkan skrin telefon.

Oh, ada hantaran SMS rupanya.

“RM0 RAYUAN HAJI: Sila kekalkan baki simpanan minima RM15,000 hingga akhir Syawal bagi melayakkan rayuan haji anda dipertimbangkan.”

Alhamdulillah.

Mesej ini, biasa-biasa sahaja. Sekadar pemakluman. Bukannya ada apa-apa.

Tapi kawan, sebenarnya perkataan-perkataan ringkas ini memberikan rasa teruja yang tiada tara.

Kau pernah bercinta? Maksudnya, sewaktu cinta sedang mula berbunga? Atau, setidak-tidaknya ketika kau angau seorang diri tentang seseorang yang kau impikan menjadi peneman hidup? Kau tahu, ketika panahan asmara tepat menusuk ke hati, terlihatkan bayang-bayangnya saja sudah bikin jantung bergelora. Walaupun, bayang-bayang itu hanyalah tiang ampaian di laman rumahnya!

Begitulah ketika kau sudah mabuk dilamun cinta. Parah, kan?

Cuma kali ini, saya sedang 'bercinta' dengan Tabung Haji.

Mesej seumpama ini, yang pertama kali saya terima. Isinya hanyalah mahu memaklumkan, tentang rayuan haji yang saya hantar 10 hari sebelum itu melalui aplikasi THiJARI.

Berbunga-bunga.

Rayuan Haji


Selepas tiga tahun membuat rayuan, ini kali pertama saya dimaklumkan tentang perkembangan permohonan. Bergegas saya menyemak Group Jemaah Haji Malaysia 1447H / 2026M di Facebook, kerana di situ selalunya meriah dengan perkongsian terkini berkaitan haji.

Rupanya bukan saya seorang saja menerima mesej begitu. Ramai yang berkongsi keterujaan mendapat mesej ringkas daripada Tabung Haji, walaupun tahu itu tak membawa maksud yang jelas.

Namun kawan, bibit harapan pun mula bertunas.

Berdoalah.






Reactions

Post a Comment

0 Comments