Doa



"Mak, abah, doakan Ijam ya. Biar sihat, biar selamat. Biar dapat umrah yang mabrur."

Berulang kali saya pesan pada mak dan abah sebelum berlepas terbang ke Turki dan selanjutnya ke Mekah menunaikan umrah baru-baru ini. Tidak cukup berpesan mulut, di Whatsapp pun saya titipkan lagi permintaan yang agung ini.

Antara doa sendiri di Baitullah dan doa seorang ibu yang melahirkan serta doa ayah yang berkorban mendewasakan, saya tidak mahu memilih. Saya tamak, saya mahu semuanya. Tak salah, kan? Berdoa di Al-Haram, entah berapa kali saja saya boleh ke sana. Namun doa ayah dan bonda?

Saya mahu!

Tak kira bila-bila dan di mana-mana.

"Iya. Mak doakan."

Jawapan ringkas emak yang  bakal menjejak usia setengah abad dua dekad tak lama lagi membuatkan hati saya sebak. Abah yang semakin renta dimakan usia, turut mengiyakan. Saya tahu mak sentiasa mendoakan anak-anaknya. Mak kepada sesiapa pun. Abah juga. Tapi datang dari keluarga yang lebih banyak memendam dari meluahkan perasaan, kata-kata mak kesayangan saya ini menggentarkan jiwa.

Allahuakhbar.

Alhamdulillah.

Doa mak abah diangkat terus ke langit.

Saya selamat pergi dan selamat pulang.

Doa Sang Isteri

"Syah, doakan abang ya?"

Tak perlu sebenarnya saya berpesan begitu kepada sang isteri. Tanpa diminta, bait-bait doa sudah pun dibisikkan moga saya selamat dan dapat menunaikan umrah sebaik mungkin.



Allahu.

Betapa beruntungnya diri ini dikelilingi oleh orang-orang yang mengasihi dan mendoakan. Semoga kebaikan doa-doa itu akan dipulangkan semula kepada pendoanya.

Bersyukurlah kalau ada yang mahu mendoakan.

Entah ada atau tidak, saya berharap benar ada pula doa saya di Raudah, di Masjid Nabawi, di Baitullah, di Masjid Quba, di Masjid Qiblataini, di dalam kapal terbang Emirates, di dalam bas SAPTCO, atau di atas motor Honda Future sepanjang saya berulang-alik berkerja; dimakbulkan Allah.

Ada.

Saya tahu ada yang sudahpun ditunaikan. Dengan cara yang kadang-kadang kita tidak faham.

Biarlah.

Yang penting, doa itu harus selalu.

Kita ini lemah. Tak akan mampu dan tak akan berkuasa memakbulkan segala sesuatu. Biar Yang Esa mendengar keluh-kesah dan rayuan kita meminta-minta.

"Jam, doakan abah dan mak sihat-sihat selalu depan Kaabah nanti."

Ah!

Wahai mak. Wahai abah. Wahai isteri. Wahai anak-anak.

Biarlah nanti tiang-tiang di Raudah, lantai-lantai berpermaidani hijau di Masjid Nabawi, dinding Multazam menjadi saksi ada seorang anak, seorang adik dan abang, seorang suami dan seorang ayah, yang merayu-rayu mendoakan untuk kekasih-kekasih sedarah sedaging agar sama-sama nanti berkumpul di syurga Firdaus.

Insya-allah.


#julyblogposts #july2019entries

Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.








0 comments:

Post a Comment

My Instagram