Tiga Zaitun Yang Mengisi Hati

Nama Zaitun ini bagi saya sangat "Melayu". Bila disebut nama Zaitun, sudah terbayang akan iras wajah yang sangat keibuan, lembut dan santun. Saya cuba mencari Zaitun yang ada di sekeliling saya, dan akhirnya saya temukan tiga Zaitun mengisi hati ini pada satu ketika dahulu.

Sumber gambar: https://www.akhbarak.net/

Zaiton Hussein

Siapa yang tak kenal dengan sosok yang sangat keibuan ini. Ah! Kalau disebut nama Zaitun Hussein, mungkin rama yang tergaru kepala. Tapi jika disebut "Opah", tentu tidak asing lagi bagi peminat drama melayu tempatan sekitar tahun 80-an.

Terngiang-ngiang di kepala lagu pembukaan drama ini.
Dia seorang tua
Pengasih dan penyayang
Tak pernah hidup duka
Bersama keluarganya
Pernah juga saya berangan-angan mempunyai seorang "opah" begitu, kesan melihat wataknya di dalam drama. Iya lah, saya sendiri tidak mempunyai opah atau nenek semenjak berumur 7 tahun lagi. Apalah sangat kenangan yang ada. Drama Opah waktu itu memang sangat digemari masyarakat kerana watak dan jalan ceritanya lebih real, hampir sama dengan apa yang berlaku dalam masyarakat kebanyakkan. Tak hairan lah drama bersiri ini mendapat tempat di hati peminat.

Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham yang meninggal pada tahun 2001.

Sumber gambar; https://www.budiey.com/

Zaiton Abdullah

"Eton.. Etonn! Ke mana saja anak ini malam-malam belum balik!"

Hahaah! Kemain lagi Mak Siti Tanjung Perak menjerit memanggil anak daranya balik. Iyalah, sudah malam pun merayau lagi. Kalau saya pun, memang berbakul-bakul saya membebel kalau anak-anak masih belum pulang ke rumah sebelum waktu Maghrib.

Tapi Zaiton si kekasih Sudin, selamba saja.

Saya suka sekali dengan watak Zaiton yang menggunakan nama sebenarnya dalam filem Bujang Lapok. Lugu, polos dan mabuk asmara sama Sudin orang kebanyakkan. Wataknya bersahaja, dan dalam diam saya sudah menjadi peminat beliau.

Lakonan primadona filem Melayu ini dalam Hang Tuah (sebagai Tun Teja) dan menjadi Mahani yang dirasuk cinta bersama Hassan, segar dalam ingatan. Apatah lagi ketika menjadi Chombi yang dirundung malang namun bertemu pula dengan Kassim Selamat yang senasib, aduh, lakonannya memang mantap.

Sumber gambar; https://seniwatizaiton.wordpress.com/

Olive Oyl

Ya! Zaitun yang ketiga ialah "Olive". Kenal tak?

Orangnya selalu muncul di kaca televisyen, sezaman tayangan drama Opah juga. Kerap berbaju merah dan memakai skirt labuh berwarna hitam serta berkasut but coklat. Tubuhnya yang kurus menjadikan dia kelihatan sangat tinggi.

Olive Oyl ini ada kekasih. Orangnya rendah sahaja dan bekerja sebagai kelasi. Sentiasa ada paip (rokok) di bibir, tentulah penampilannya menarik hati Olive.

Popeye The Sailor Man!

Kah kah kah!

Inilah zaitun yang ketiga, yang pernah hadir dalam hidup saya satu waktu dahulu.


Sumber gambar; https://costumewall.com/

Itulah kisah tiga zaitun yang mengisi hati saya, satu waktu dahulu.


#julyblogposts #july2019entries

Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.








0 comments:

Post a Comment

My Instagram