[Ulasan Buku] Athirah (Alberthiene Endah)

10 mukasurat yang pertama, saya sudah terpikat. Cantik betul bahasa penceritaannya, penulisannya. Sastera, tapi lancar saja membaca tanpa perkataan-perkataan bombastik yang memaksa kau bergulat mencari maksud. Ya, ada perkataan Indonesia yang saya tidak faham. Tapi membaca keseluruhan ayat dan perenggan, sudah boleh menebak sendiri maksud perkataan itu.

Untuk ini, Alberthiene Endah sudah ada peminat baru!

Dan membaca Athirah (selepas menonton filemnya di bioskop hampir setahun yang lalu), memberi pengalaman yang berbeza. Athirah di panggung (bagi saya) berbeza dengan Athirah di dalam buku. Tetapi membandingkan antara keduanya yang mana lebih keren, saya katakan itu perbandingan yang tidak perlu.

Athirah di dalam filem, saya terpukau dengan penggambarannya. Saya jadi suka pada Makassar, saya suka pada Watampone. Sama sepeti perasaan menonton Laskar Pelangi, buat saya pengen mahu ke Belitong!

Athirah (atau "Emma" yang bermaksud mak/ibu/bunda) dalam buku, lebih dekat dengan perasaan. Bagaimana WaPres Jusuf Kalla (JK) membesar dalam keluarga yang besar, yang mewah dengan kasih dan cinta kemudian bergolak dengan perbuatan Bapak yang tak terduga. Betapa Emma jatuh menjadi lemah seketika, kemudian bangkit menjadi kuat. Dan JK bukan sekadar melihat, tapi utuh bersama Emma meneruskan hidup. Emma bangkit, JK kuat. Tapi sekelumit benci langsung tidak wujud kepada Bapak, walau marah ada ketika menguasai. Emma, JK dan keluarga jalan terus, memilih untuk memeluk saja badai yang menghempas, dari menyakitkan diri cuba melawan dan membantah.

Indah. Keluarga yang indah.

Buku ini bukan hanya bercerita tentang kekuatan Emma, tapi tetap mempamerkan tingkah dan tanggungjawab seorang Bapak yang cemerlang. Ya, berkahwin dua itu mudah saja terlihat "dosanya". Tapi Bapak menanggung akibatnya juga, dan masih tahu membezakan baik buruk hal-hal keluarga. Pembangunan dan perkembangan Kalla Group juga hasil titik peluh seoarang Bapak, itu juga perlu dilihat. Tidak. Jangan melihat usaha keras Bapak membangunkan keluarga sebagai alasan untuk menambah isteri, tapi lihat bagaiman kesungguhan beliau memanfaatkan setiap ruang dan peluang memperbaiki diri.

Jujurnya, kedua-dua watak Emma dan Bapak sangat saya sanjung. Kedua-duanya kuat, hebat dan patut dijadikan teladan. Tidak hairanlah WaPres JK sangat cemerlang dalam hidupnya. Kerana permulaan yang baik, titiknya bermula dari rumah.

Lima bintang untuk buku ini.


Athirah (Alberthiene Endah)





Reactions

Post a Comment

0 Comments