Antara Tunai, Kad Debit, Kad Kredit Dan E-Wallet

Antara tunai, kad debit, kad kredit dan e-wallet, yang mana satu menjadi pilihan untuk melakukan transaksi harian? Hujung pangkalnya, tetap akan berlaku penyusutan simpanan wang di dalam kocek mahupun akaun bank.

Saya?

Saya memilih kesemua pilihan di atas, disesuaikan dengan jenis transaksi yang berlaku.


Tunai

Ini masih dikategorikan "wajib". Urusniaga harian seperti bekal duit belanja untuk anak ke sekolah, membeli barang-barang runcit, belanja makan tengah hari di warung-warung dan banyak lagi urusan kecil.

Kadang-kadang, membeli barang dengan harga di bawah RM500, saya masih selesa menggunakan wang tunai.

Ini kerana saya mahu mendisiplinkan diri untuk menggunakan duit yang memang wujud sahaja, yang memang "milik" saya. Menggunakan kad kredit, sangat merbahaya untuk orang "pemurah" macam saya.


Kad Debit

Sama seperti tunai sebenarnya, cuma belanja bukan dalam bentuk wang fizikal. Ini saya gunakan untuk perbelanjaan yang sedikit besar (masih di bawah RM 500) terutamanya makan di restoran, berbelanja di kedai buku, membeli tiket kapal terbang ataupun membeli-belah yang lain.


Kad Kredit

Oleh kerana saya berkerja di bank dan kami "diwajibkan" untuk memiliki kad kredit syarikat, saya pun mendaftar satu akaun. Kad kredit ini, saya gunakan untuk membeli barang yang lebih mahal harganya (RM500 ke atas), juga mendapatkan rewards seperti mengisi minyak di stesen tertentu. Bentuk rewards pula saya lebih sukakan pulangan dalam bentuk tunai, bukan points yang boleh diredeem. Pulangan tunai selalunya dikredit terus ke dalam akaun, berbanding points yang ada waktunya terlupa, tahu-tahu sudah tamat tempoh!

Untuk kad kredit, saya akan pastikan setiap penggunaan akan dijelaskan dalam tempoh 20 hari untuk mengelakkan sebarang interest.

Perlu berhati-hati, takut dileretkan sesedap rasa.


E-Wallet

Semenjak kebelakangan ini, sudah banyak perkhidmatan e-wallet yang diperkenalkan. Saya sebenarnya masih selesa dengan pilihan tiga cara pembayaran di atas, namun untuk situasi tertentu terpaksa juga menggunakan e-wallet ini.

Misalnya, aplikasi Boost memudahkan saya untuk membayar parkir di pejabat (dan sekitar Lembah Kelang). Touch 'n Go E-Wallet juga memudahkan penggunaan perkhidmatan bas dan keretapi Rapid KL, saya boleh menambah nilai kad menggunakan aplikasi di telefon sahaja.

Banyak juga faedah yang diperolehi dari perkhidmatan e-wallet ini, terutamanya diskaun harga perkhidmatan atau produk.


Pilihan

Terpulang kepada cara pengurusan wang masing-masing, setiap cara di atas ada kelebihan dan kelemahannya. Yang penting, perlu tahu memanfaatkan (seperti reward, diskaun yang ditawarkan) untuk keuntungan sendiri.

Antara Tunai, Kad Debit, Kad Kredit Dan E-Wallet

Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Ogos yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#augustblogpostchallenge #augustwritingprompts #tulistulissharul

Wordprompt #7 : Tunai vs kad debit/kad kredit.






0 comments:

Post a Comment

My Instagram