Mendaki Bukit Dinding, Wangsa Maju Dengan Penuh Drama

"Aku nak naik Bukit Dinding minggu depan. Nak ikut?"

Saya terkejut.

Terkejut sebab dah lama betul tak mendengar pelawaan untuk aktiviti mendaki. Otak di dalam jemala otomatik ligat memutar rakaman waktu, mencari kenangan mendaki yang paling terkini.

Wow! Rupanya semenjak Covid melanda dunia, aktiviti pendakian saya turut menyepi. 

Patutlah gemuk.

Tiber.

Kah kah kah!

Selepas hilang rasa terkejut yang dibuat-buat itu, saya pun dengan gagah perkasa bersetuju dengan tawaran yang datang menggolek.

Siapalah yang tahu, keputusan rakus itu kelak membuat diri merana.

Mari saya ceritakan.

Bukit Dinding, Wangsa Maju
Senyumlah ketika kau masih bisa tersenyum - Acik Rul 2025
 


Bukit Dinding, Wangsa Maju

Sabtu, 26 April 2025. 

Jam 8.20 pagi, saya sudah pun menunggu di laluan masuk ke Bukit Dinding, Wangsa Maju. Letaknya betul-betul di kawasan perumahan. Kiri kanan jalan penuh dengan kereta, rasanya pemilik dari kalangan pendaki juga. Sementara menanti yang lain-lain sampai, saya sempat merakam video dan berceloteh mengisi masa. Hampir juga saya buat rakaman tarian zapin hip hop untuk mengaibkan diri sendiri. Namun hidayah menerpa, saya hanya berkisah tentang peristiwa hari itu.

Acah-acah Youtuber, konon.

Jam 8.40 am, semua sudah sampai. Rakan saya, Pokme, yang memberi 'kejutan' tempoh hari mengajak saya mendaki Bukit Dinding, memberi ucapan alu-aluan selamat datang kepada kami semua. Gayanya persis YB yang kalah undi, tetapi tetap memberikan yang terbaik untuk ahli jemaahnya.

Macam 'walid'.

Jam 9.00 pagi, kami memulakan acara menyeksa diri. Belum pun 5 minit bermula, ada pula seorang ahli yang tercabut tapak kasutnya.

Oh, tuhan. Apakah petanda yang kau mahu tunjukkan? 

Saya bermonolog, seperti penyair kebuntuan idea.

Sementara Pokme membantu anak buahnya mendapatkan kasut ganti, kami yang lain-lain meneruskan perjalanan. Tak sampai 10 minit kemudian, saya mendapat kejutan yang benar-benar kejutan.

Laluan pacak!

Kazumi Trail
Kazumi Trail, pacak dengan diskaun 5%
 

Bayangkan lah. Seorang lelaki nan berusia namun kacak, berat badannya mesra obesiti tak sedarkan diri, acah power tidak ada latihan atau apa-apa persediaan sebelum mendaki, dan 30 minit sebelum mendaki melantak sepinggan nasi lemak berlaukkan paru sambal dan telur mata.

Di depan mata, laluan pacak menanti mesra.

Ah, saya boleh melakukannya. Kata saya penuh yakin.

Saya daki. Sambil bervideo untuk ditayang-tayang di media sosial kelak. Sudah terlintas dalam fikiran untuk saya letakkan caption lucu untuk dibaca nurtizen nanti. Mesti dapat 47 likes, paling kurang.

Pacak 1, lepas.

Pacak 2, lepas.

Pacak 3, lepas.

Buk!!

Tiba-tiba alam menjadi gelap gelita.


Pitam

Ketika berehat selepas pacak ketiga, badan saya sudah mula memberi isyarat yang menggelisahkan. Heart rate pada jam tangan pintar saya perhatikan, sudah menjejak angka 160. Tinggi! Saya berehat, mahu menenangkan diri. Alhamdulillah, turun ke 140.

Namun saya masih kurang selesa. Beg yang saya galas, dilepaskan ke tanah. Saya mengambil tempat duduk di tunggul kayu yang mereput. Sebaik duduk, kepala saya berdenyut kuat dan serta-merta pandangan menjadi kelam.

Buak!

Saya tergolek ke samping, bak seguni bawang yang terlentang ke lantai. Alam gelap gelita, saya tak mampu membuka mata. Saya sangkakan saya bakal tak sedarkan diri, mujur Ilahi masih mahu memberi kesempatan kepada saya untuk terus bernafas dan bertaubat.

Saya diam saja, tak bercakap, tak membuka mata. 

Saya masih sedar, dan saya tahu sahabat saya Pokme masih berada di sebelah. Saya diraba, maaf, lengan saya diraba Pokme. Bagai seorang pakar kesihatan yang sudah pencen, beliau memeriksa nadi saya.

Alhamdulillah.

Saya masih hidup!

Pitam dengan penuh gaya
Pitam dengan penuh gaya
 


Pitam Lagi

Setelah beberapa minit, saya kembali siuman. Saya buka mata, terlihat wajah sang 'walid' yang menggiurkan. Eh, bukan. Rupanya saya hanya berhalunasi. Yang ada hanyalah wajah Pokme. Sebelum saya kembali duduk, saya minta Pokme rakamkan gambar dan video, demi kemasyuran di dunia media sosial yang penuh kepura-puraan. 

Saya duduk.

Berbual.

Tiba-tiba rasa resah tadi kembali datang. Saya tahu saya bakal tumbang sekali lagi, jadi saya lekas-lekas baring di atas tanah. Seperti tadi, saya masih sedar. Saya berbaring dan mendiamkan diri.

Pokme pergi mendapatkan bantuan. 


Bangkitlah Wahai Anak Muda

Perlahan-lahan saya membuka mata. Saya keseorangan entah di mana. HR saya periksa, sudah semakin menurun dan semakin tenang. 

90. 80. 100. 90. 

Akhirnya saya gagahkan diri untuk duduk. Saya sudah semakin lega. Tidak ada lagi sakit kepala. Bernafas pun tenang. Rasa sihat seperti biasa. Entah apa yang terjadi sebentar tadi, saya tertanya-tanya.

Barangkali, jantung terkejut membuat kerja yang banyak.

Mujur, awak masih tegar berbakti, Cik Ntung. Terus berkhidmat cemerlang, ya?

Saya cuba berdiri. Kaku. Tidak ada pergerakan yang banyak. HR saya periksa lagi. Alhamdulillah. 80. Saya rasa, saya sudah boleh meneruskan perjalanan.

Pokme sudah beredar mungkin 10-15 minit. Saya tahu dia akan datang semula, dan saya tahu saya sudah boleh kembalik berjalan. Bukan memaksa, tapi benar saya sudah sihat. Perlahan-lahan saya mengatur langkah, tak sampai 5 minit Pokme sudah muncul di depan mata.

Alhamdulillah.

Kami berjalan berpimpinan tangan. Pui! Kami hanya berjalan beriringan. Saya sudah boleh berborak seperti biasa. Video saya rakamkan. 

Masya-Allah.

Seperti lagu Jamal Abdillah, saya teringat lagu beliau "My Heart Will Go On".

Ya, saya sudah move on.

Alhamdulillah.

OOTD
Kegigihan seorang Sharulnizam
Dalam hutan


KL See See

Kami berhenti di checkpoint pertama, dengan pemandangan sekitar Wangsa Maju. Cantik, cuma langit nampak seperti berjerebu.

Alhamdulillah.

Kami menikmati aiskrim Malaysia yang ada dijual di situ. Boleh lah, buat menyejukkan tekak.

Saya pula yakin saya sudah benar-benar sihat. HR memang sentiasa dipantau. 

Asalnya, selepas sampai ke CP1 ini saya akan patah balik untuk keluar dari Bukit Dinding. Itu rancangan selepas pitam kali kedua tadi. Tapi saya yakin, saya boleh meneruskan perjalanan.

Selepas lebih kurang 30 minit, kami tiba di kawasan kebun dengan pemandangan kota Kuala Lumpur.

KL See See, nama trek ini. Kerana dari sini para pendaki boleh melihat Kuala Lumpur dengan pemandangan yang luas. Sayang, jerebu menebal dan KL kelihatan samar-samar di bawah terik matahari. 

Kami berehat (lagi), dan menghirup kopi panas. Saya pula cukup dengan sebotol air tebu. 

Melihat Kuala Lumpur
Kuala Lumpur
Akhirnya sampai ke puncak Bukit Dinding

 

Pulang

Kami teruskan perjalanan ke penghujung trek KL See See, dan kami sampai ke puncak. Puas bergambar, kami kembali memulakan langkah untuk pulang.

Panas sudah semakin terik, perut sudah mula menjerit meminta lemak dan kolestrol. 

Alhamdulillah, tidak ada drama yang merimaskan berlaku lagi.

Kami selamat tiba ke titik permulaan tepat jam 2.00 petang, dan kemudia bersurai pulang. 

Alhamdulillah.

 

Serik

Ya, saya sudah serik. Kalau Pokme mengajak sekali lagi, saya akan katakan "tidak" sehabis kuat. Ya, saya akan katakan TIDAK lagi mendaki tanpa persediaan asas. Saya tidak mahu lagi dianugerahkan DRAMA KING. Saya mahu kembali macam dulu, bertahan sehingga akhir walaupun perlahan. Dan saya mahu pergi dan pulang dalam keadaan bernyawa.

Heh!

Insya-Allah.

Saya hiking/trekking bukan untuk mebuktikan apa-apa kepada sesiapa. Saya suka. Saya cinta. Aktiviti ini merapatkan diri saya dengan alam. Mendamaikan. Membahagiakan. Dan selalunya, penggemar aktiviti ini daripada kelompok yang 'berjurus'. Positif. 

Macam Pokme.

Terima kasih, Pokme. Terima kasih, Yati. Terima kasih, "anak-anak burung" Mak Lang dan Pak Lang.

Jangan serik ajak lagi, ya?

 

Kami di puncak Bukit Dinding
Jarak perjalanan
Selamat Datang Ke Bukit Dinding

 

Video Mendaki Bukit Dinding, Wangsa Maju

Apalah guna bercerita tanpa visual yang menambah rasa. Ada sedikit rakaman yang sempat saya buat, kecuali waktu pitam. Heheheeh!









Reactions

Post a Comment

0 Comments