Filem Bawang Putih Bawang Merah Tahun 1959

Apabila ditanya apakah filem kegemaran saya, memang gatal juga kepala mahu menjawab. Saya bukan penonton tegar (semenjak berkeluarga), dan kalau menonton pun saya tak memilih. Genre dan bahasa bukan masalah, asalkan bukan filem seram. Heh! Jadi kalau mahu mengambil satu untuk diceritakan, saya memilih filem Melayu Bawang Putih Bawang Merah tahun 1959.

Filem Bawang Putih Bawang Merah 1959Watak Bawang Merah yang dilakonkan oleh Latifah Omar

Kenapa?

Kebetulan saya ternampak di newsfeed FB, ada video tarian zapin yang menggunakan lagu dari filem tersebut. Saya lupa liriknya, tapi terus dapat menangkap di mana lagu itu dinyanyikan dalam filem Bawang Putih Bawang Merah lakonan seniwati Latifah Omar, Umi Kalthom dan Mustapha Maarof.

Saya suka juga menonton filem-filem Melayu lama, terutamanya terbitan Cathay-Keris Film Productions. Apa lagi yang bertemakan zaman raja-raja dan pendekar gagah perkasa serta tuan puteri cantik jelita, memang saya boleh menonton dari awal sehingga penamat. Mungkin pelik bagi sesetengah orang, tapi saya suka benar dengan cara orang dulu-dulu berdialog. Bahasa Melayu sangat cantik dituturkan mereka, walaupun itu hanya dalam filem. Pantun di sana sini, tak kira bersama sang kekasih mahupun musuh sejati.

Bagi saya, filem lama lebih menonjol dalam memperjuangkan jati diri orang Melayu.

Anggerik Desa Oleh KamariahNor

Dalam filem Bawang Putih Bawang Merah, saya paling suka dengan lagu yang didendangkan oleh Bawang Merah bersama inang dan dayang istana. Walaupun telah diangkat menjadi isteri raja, adab santunnya masih terjaga melalui bait-bait lagu yang didendangkan.

Apa dipandang kepada anggerik,
Tumbuhnya liar di dalam hutan,
Mekar sehari besok binasa,
Sebelum layu sudahpun mati,

Bukan memandang cantik,
Pokok pangkalnya hati berkenan,
Kalau sesuai budi bahasa,
Sampai ke kubur bersatu hati,

*Bunga anggerik yang permai,
Memang molek dipakai,

Banyaklah bunga di dalam taman,
Apalah guna anggerik di desa,
Molek pun tidak, wangipun bukan,
Tidak sesuai untuk disunting,

Sungguhlah puan bunga idaman,
Indah kerana budi bahasa,
Bukanlah cantik ditengah pekan,
Cantik berbuai dihujung ranting. 
Ulang*

Bunga berseri disinar malam,
Kumbang menari dengan cahaya,
Alam kekasih bunga dikarang,
Anggerik tak mungkin menukar ganti,

Sudah menjadi aturan alam,
Bunga penyeri taman bahgia,
Kumbang memilih bukan sebarang,
Anggerik di desa pujaan hati,

Bunga Anggerik di desa, indah budi bahasa.

Sumber lirik; buluhbetung298.blogspot.com


Cantik, kan?



Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Ogos yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#augustblogpostchallenge #augustwritingprompts #tulistulissharul

Wordprompt #1 : Cerita tentang filem kegemaran anda.






Reactions

Post a Comment

0 Comments