Semalam (Ahad), berjaya juga menyiapkan passport. Untuk kami 4 beranak. Umi punya passport masih ada 3 tahun lagi jangka hayat. Saya mahu memanjangkan tempoh. Kekasih manja kami yang bertiga, mahu dibuat baru. Jenuh menunggu. Keluar rumah seawal 7 pagi. Selesai urusan sudah jam 12 tengah hari. Tak apa lah. Semua dah pun selesai.
Insya-allah. Cuti sekolah pertengahan tahun, kami akan ke seberang untuk berlibur. Tempat asal-usul keturunan saya. Entah ada atau tidak saudara mara di sana, saya tidak tahu. Saya sendiri sudah generasi yang ke 5 di sini.
Entri ini cuma mahu berkongsi cerita. Proses-proses permohonan passport. Untuk rujukan masa akan datang.
- Kenal pasti Jabatan Imigresen yang ada. Kami beruntung di Gombak. Banyak pilihan yang ada. Kami memilih Pejabat Imigresen Jalan Duta. Boleh rujuk di sini (cawangan Kuala Lumpur).
- Ada antara pejabat imigresen ini yang beroperasi pada hari hujung minggu (Sabtu dan Ahad). Jadi ini memudahkan kepada mereka yang tidak mahu mengambil cuti, dan juga membawa anak-anak tanpa perlu ponteng kelas. Jalan Duta buka pada hari minggu. :)
- Untuk pembaharuan passport, sila bawa dokumen yang berikut;
- Gambar berukuran passport yang terbaru (sekeping)
- Kad Pengenalan
- Passport lama
- Wang RM100 (untuk 2 tahun) dan RM300 (untuk 5 tahun)
- Untuk permohonan baru passport, sila bawa dokumen yang berikut;
- Gambar berukuran passport yang terbaru (sekeping)
- Kad Pengenalan
- Wang RM100 (untuk 2 tahun) dan RM300 (untuk 5 tahun)
Tambahan (untuk permohonan anak-anak bawah 12 tahun) - Surat beranak asal
- Salinan surat beranak (sekeping)
- Salinan kad pengenalan ibu/bapa (sekeping untuk setiap permohonan/anak)
- Untuk permohonan passport anak-anak, mereka perlu di bawa bersama untuk proses pengambilan cop jari.
- Tidak ada borang yang perlu diisi. Ini pengalaman saya di Jalan Duta. Tidak tahu jika ianya sudah diseragamkan ke seluruh negara.
- Terdapat 4 kaunter yang terlibat (merujuk pengalaman sendiri di Pusat Imigresen Jalan Duta);
- 8.00 am; kaunter nombor. Walaupun pintu hanya dibuka pada jam 8 pagi, orang ramai sudah mula beratur di luar pejabat seawal jam 7.30 pagi lagi! Setiap permohonan akan diberikan satu nombor.
- 9.00 am; kaunter penerimaan. Segala dokumen yang diperlukan akan diproses. Di sini setiap pemohon perlu hadir kerana pengesahan cap jari akan dilakukan.
- 9.35 am; kaunter pembayaran. Sediakan wang seperti yang telah ditetapkan. Terdapat perbezaan harga untuk sesetengah kategori (warga emas, OKU dan lain-lain). Untuk kanak-kanak bawah 12 tahun, RM 80 untuk 2 tahun dan RM 150 untuk 5 tahun.
- 12.00 pm; kaunter penyerahan. Passport yang sudah siap diproses (tanpa ada masalah) akan diserahkan di sini.
- Antara kaunter pembayaran dan kaunter penyerahan ada sela masa yang agak panjang. Kalau ikutkan padat catatan resit, waktu menunggu sepatutnya 1 jam sahaja. Tetapi semalam kami menunggu sehingga 2 jam setengah. Tak dapat dipastikan ini memang kebiasaannya atau hari itu sahaja tempoh masa menunggu menjadi begitu lama. Jadi kalau membawa anak-anak, siap sedia untuk menghadapi karenah kebosanan mereka. Ada cafe untuk sarapan pagi (pilihan terhad).
Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan lancar. Tidak ada apa-apa halangan (setakat ini) untuk kami sekeluarga ke luar negara.
Tak sabar nak bercuti.
Malaysian Passport |
0 Comments