Sharifah Aini

"Abang ni, retro sangat. Hihihihi!"

Itu kata-kata Syah apabila aku memilih untuk memutarkan lagu-lagu lama. Lagu-lagu zaman 70an dan 80an. Entah kenapa, aku memang selesa dengan lagu-lagu zaman itu.

Sharifah Aini. Sanisah Huri. Salamiah Hasan. Ahmad Jais. Antaranya.

Lagu Melayunya sangat Melayu. Penyanyi Melayunya juga "masih" Melayu. Jangan menganggap aku rasis hanya kerana ini. Aku ini orang Melayu. Sudah pasti lagu Melayu lah menjadi pilihan.

Kalau  mengikut perkembangan muzik tanahair, aku hanya seiring dengan lagu-lagu terkini sehingga lewat 90-an. Zaman rock kapak, dan juga zaman rock leleh.

Juga zaman Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris.

Kemudian, aku sudah "jauh ketinggalan" dengan lagu-lagu yang paling terbaru di pasaran. Sesekali mendengar juga, itu pun kalau sudah terlalu popular dan sering disebut khalayak.

Aku hanya kekal dengan lagu-lagu retro.

Dan Sharifah Aini merupakan penyanyi yang suaranya serasi dengan halwa telinga.

Mungkin pengaruh daripada emak, yang rajin bercerita tentang kisah penyanyi zaman kegemilangan emak satu ketika dahulu. Sharifah Aini menjadi pilihan emak juga. Aku juga mula "jatuh cinta" dengan dendangan lemak merdu biduanita negara ini selepas mendengar beliau menyanyikan lagu Seri Dewi Malam.


Seri dewi malam 
Tabir gerbang alam 
Jika kawanku yang setia 
Simpankanlah janjiku dan dia 

 Inilah cubaan 
Inilah dugaan 
Kasih yang sejati disimpan 
Yang palsu dilahirkan 
Semoga berjaya



Pergi
Kini sudah dua hari berlalu. Tanah Melayu menjadi hiba, penyanyi kesayangan ramai ini sudah tiada lagi. Biduanita Negara sudah pergi meninggalkan dunia untuk ke negeri abadi. Bulan Ramadhan, yang sinonim dengan kelunakan lagu Suasana Hari Raya nyanyian beliau, kini mengundang suasana yang berbeza. Perginya beliau jam 1.26 pagi, Sabtu 5 Julai 2014, meninggalkan ruang kosong tak berganti dalam senarai permata dunia hiburan Malaysia.

Dan melihat tahun-tahun terakhir hidup seorang biduan bernama Sharifah Aini, ada terdetik rasa cemburu. Amalnya yang berterusan, insafnya beliau dengan dugaan duniawi, dan akhir sekali diimamkan anak sendiri ketika solat jenazah, aduh!

Rezeki. Rahmat.

Moga aku juga diberi peluang sebegitu, kalau tidak lebih baik.

Dan daripada peminatmu ini, hanya Al-Fatihah menjadi hadiah untukmu, Kak Pah.

Biduanita Negara Sharifah Aini


Sumber gambar; http://www.nasyidkini.com.my/v1/archives/7115





Reactions

Post a Comment

0 Comments