Sebulan. Sebulan aku ambil masa untuk mengkhatamkan buku ini. Khatam, ya.
Hadam? Mungkin tidak sepenuhnya.
Yang baik;
1)
Buku UH sudah berwarna-warni. Gambar-gambar yang menarik.
2)
Seperti biasa, UH tidak pernah gagal mengindahkan Turki dengan kata-kata.
Indah secara literal. Indah dengan manusianya, bangunan-bangunannya,
sejarahnya, kisah hayatnya. Aku mahu ke Turki!
3)
Hampir setiap topik, akan disertakan dengan pemikiran/pandangan Imam Birgivi.
Jadi, jika mahu tahu apa "ajaran" tokoh yang dikaji oleh UH ini, harus cakna
dengan penceritaan dalam setiap tajuk. Mungkin sesuai untuk asasnya sahaja,
pendedahan awal.
4)
Perjalanan kembaranya itu penat. Tetapi membacanya sangat mengujakan. Lokasi
yang indah, nama-nama yang janggal di telinga. Entah kenapa, aku seperti
membaca kisah pengembaraan The Fellowship of The Ring. :)
Selainnya;
1)
Aku setuju dengan cadangan isteri UH. UH patut fokus kepada bidang yang lebih
dekat dengan hati beliau, yakni bidang sejarah. Dan aku sangat suka dengan
cara UH ini.
2)
Ustaz selebriti, usahawan air liur yang satu ketika menjadi bidang kerja
beliau, ya, adalah pilihan beliau untuk meninggalkannya. Cuma,
alasan-alasannya (yang dibaca oleh orang seperti aku, bukan mewakili sesiapa)
seperti menidakkan sisi kelebihan bidang-bidang itu.
3)
Kebetulan, ketika membaca buku ini kecoh di dunia media sosial perihal UH
"berpatah arang" dengan PAS. Kecewa, lalu meninggalkan kelompok itu, ditambah
pula dengan adegan mengoyakkan surat keahlian kerana ada rasa yang tidak
gembira. Adegan ini, ditambah dengan peristiwa (2), sedikit demi sedikit
membina persepsi negatif dalam diri ini. Maaf, aku ini manusia. Jadi, untuk
membuang rasa itu, aku segera setuju dengan cadangan isteri UH.
Walaupun ada kekecewaan, ianya masih belum dapat melenyapkan rasa suka secara
keseluruhan. Travelog UH sememangnya menginspirasi, lalu aku perlu bertanya,
dengan inspirasi ini, aku mahu ke mana?
#sharulmembaca
#malaysiamembaca
0 Comments