Peragut

Kali terakhir saya menggunakan perkhidmatan bas awam, mungkin sekitar 15 tahun yang lepas. Mungkin lebih, saya tidak dapat mengagak.

Petang tadi, kerana satu urusan penting dan tidak punya banyak pilihan, saya terpaksa menggunakan perkhidmatan bas.

Semasa di perhentian, saya keseorangan. Walaupun laluan agak sibuk, dalam radius 50 meter sekeliling saya tiada langsung kelibat manusia. Mungkin, masih belum pulang dari kerja. Atau masih berzikir dan berwirid selepas solat Asar.

Memerhati sekeliling, saya terpandang contengan di permukaan dinding perhentian bas.

Vandalism
Vandalism

Awas PePeragut!

Ah! Ini bukan sesuatu yang menyenangkan. Sedang saya terkial-kial memikirkan bagaimana adab dan tatacara menggunakan bas, kini saya terganggu dengan peringatan di dinding kusam itu.

Sunyi. Ragut. Dan keseorangan. Kombinasi yang menyenakkan perut.

Spontan, saya meraba poket seluar. Dompet yang sarat dengan resit dan telefon yang masih tidak habis dibayar ansuran bulanan, elok tersimpan. Tidak berbaloi untuk diragut. Beg yang digalas, hanya menyimpan buku dan beberapa dokumen tidak penting. Juga bukan idaman sang peragut. Jadi saya beransur kembali tenang.

Oh! Terfikir juga, kalau tidak ada apa-apa yang mahu diragut, peragut itu tidaklah sampai terdesak mahu meragut kesucian saya, kan?

Selang beberapa minit, sebuah lori trak penunda berhenti berhampiran perhentian bas itu. Turun seorang lelaki, berbadan sasa, berbaju merah jambu berbelang biru dari bahagian sebelah penumpang. Selesai bercakap-cakap dengan pemandu trak penunda tersebut, dia menutup pintu dan mengucapkan salam selamat tinggal.

Saya menoleh ke arah dia. Abang sasa baju merah jambu berbelang biru berjalan menghampiri saya. Tersenyum-senyum. Langkahnya bagai seiring dengan lagu pujaan ramai.

"Menjeling menjeling kubertentang‬
Mata kita sama memandang‬
Kucuba kucuba nak bertanya‬
Siapa diakah namanya"

Saya memeluk rapat-rapat beg yang tadi saya galas.

Berpeluh.

‪#‎karangan‬
‪#‎syioksendiri‬‬
‪#‎60peratusbenar40peratusfiksi‬‬
‪#‎kalauramaibacabarusambung‬‬





Reactions

Post a Comment

0 Comments