Panggilan

Truutt trruutt!

"Ya mak?"

"Jam, tadi Tabung Haji telefon. Mak dapat pergi haji tahun depan!"

Senyap. Saya kelu.

Mak di hujung talian sedang tersenyum lebar. Girang. Saya nampak jelas melalui getar suara mak.

Ini panggilan haji mak dan abah, untuk kali yang kedua. Kali pertama, sudah lebih 10 tahun yang lepas. Mak memang mendaftar semula untuk menunaikan rukun Islam yang kelima selepas balik dari sana dahulu.

Tahu-tahu, rezeki 2017 menjelma.

"Alhamdulillah".

Payung Masjid Nabawi
Payung Masjid Nabawi

"Tapi mak tak tahulah macamana. Nak pergi ke tak?"

Mak bertanya.

Saya faham kenapa mak bertanya. Bukan mak tidak mahu pergi. Saya yakin mak risaukan satu perkara; abah.

Abah semakin kurang kecergasannya. Usia abah menjejak 72 tahun. Sehari-hari ubat tak pernah putus dalam jadual makan. Tenaga abah juga sudah tak segagah dahulu.

Bagaimana abah mahu ke sana dengan mak? Kalau mak pergi seorang diri sekalipun, sanggup tak mak nak meninggalkan abah selama 40 hari? Dan mana mungkin kami melepaskan mak ke sana tanpa peneman. Mak juga, bukan kuat lagi.

Nak pergi ke tak? Mak tak akan tanya kalau ini tawaran yang pertama kali.

"Entahlah mak. Solat istikharah lah dulu."

"Ye lah. Nanti mak tanya kat kakak kau."

Klik.

Rezeki.

Baru semalam saya bersembang dengan rakan sepejabat yang baru pulang dari menunaikan umrah. Kata dia, dia mendoakan di Multazam agar saya dan isteri dapat segera menunaikan haji.

Hari ini, mak yang mendapat panggilan.

Saya kelu.

Bila panggilan saya akan tiba?







Reactions

Post a Comment

0 Comments