Bulan Mac Yang Memitamkan Tapi Gembira Tak Tertanggung

Pagi itu kami bersiap seperti biasa, mahu ke pejabat. Abah dengan kemeja, ummi dengan baju mengandungnya. Mungkin hari itu baju berwarna ungu cair. Ummi sudah sarat menghitung hari, semakin susah dan berat mahu melangkah. Kasihan, tetapi tetap comel.

Kebetulan, hari ini perlu ke hospital untuk rutin check-up mingguan. Temujanji sudah dibuat lebih awal, jadi tidak perlu lama menunggu.

Ummi berjumpa Doktor Onni. Abah menunggu di lobi yang kusam, seperti biasa.

Selepas beberapa ketika.

"Encik Sharul, Puan Kamilah akan bersalin pagi ni. Ada bawa barang-barang tak?", kata jururawat.

Hah?

Boboi tanjat.

Segera, saya ambil barang-barang yang memang sudah siap sedia di dalam kereta. Mak dan mak mentua terus dimaklumkan. Doa dipohon untuk dipermudahkan.

Dalam bilik bersalin, abah temankan ummi. Ummi sudah mula sakit-sakit. Sakit yang betul-betul sakit. Kuat betul ummi. Bertarung nyawa mahu melahirkan. Selayaknya syurga sahaja untuk ibu-ibu yang melahirkan.

Bilik bersalin sudah mula dicengkam aroma darah. Berhawa dingin, tidak ada tingkap untuk udara segar dari luar masuk ke dalam. Maka mengikut hukum sains, ada rangsangan maka ada lah gerak balas. Kepala abah sudah berpinau. Berdiri sudah tidak kuat. Bau darah sudah menyerang sistem kewarasan.

Doktor "halau" abah keluar.

"Nak pitam lettew!", desis hati kecil doktor. Agaknya.

Abah akur. Masuk sekejap ke bilik menunggu. Mengatur nafas. Minum air. Makan roti. Main Candy Crush. Eh?

Diri mula terkawal. Abah kembali ke bilik bersalin. Ummi masih bertarung. Kali ini doktor suruh abah berdiri di bahagian kepala. Jangan mencari pasal. Jangan mencuri pandang. Jangan menjeling. Kalau pengsan, bangun sendiri! Mengada-ngada betul.

Bau darah masih kuat. Abah bertahan. Apa lah sangat berbanding dengan perjuangan ummi.

Satu.

Dua.

Teran.

Berulang-ulang.

Allahuakhbar. Sakitnya ummi. Kuatnya ummi.

Puf!

Keluar sudah puteri kami yang pertama, anak yang kedua.

3.9 kilogram, lebih kurang jam 11 pagi.

1 Mac 2005.

Sudah 12 tahun. Masih segar dalam ingatan.

Nur Hanim binti Sharulnizam.

Nama abah sentiasa ada dengan Nur Hanim, tetapi jangan pernah lupa jasa ummi yang berkeringat darah mahu melahirkan. Berbakti selalu dengan ummi.

Jangan pernah lalai menjadi hambaNya yang solehah.

Selamat ulangtahun ke-12, kakak.

Semoga sentiasa dipermudahkan urusan dunia akhirat.


______
Abah Hanim Yang Takut Darah

#ceritahanim
#tulistulissharul





Reactions

Post a Comment

0 Comments