Mendaki Gunung Datuk, Negeri Sembilan

Ini gunung yang pertama saya daki untuk tahun 2017. Lanjutan dari aktiviti mendaki Bukit Tabur dengan Pokme tahun lepas, akhirnya impian menjadi kenyataan bila saya diajak Pokme untuk ke Gunung Datuk.

Sabtu, 21 Januari 2017.

Berpakat dengan seorang lagi sahabat kami, Along, kami kemudiannya berkumpul di Warung Tol Corner, Rantau, Negeri Sembilan. Lebih kurang 15 orang yang menyertai aktiviti ini dan majoriti adalah dari syarikat Pokme berkerja. Jadi, saya dan Along saja "orang luar". Tapi kami cepat mesra, nak sombong-sombong pun buat apa.

Gunung Datuk, Negeri Sembilan.

8.00 pagi | Warung Tol Corner


Sarapan

Alhamdulillah. Perut kenyang dengan nasi lemak dengan segelas air teh o panas. Terima kasih juga kepada Encik Kamarul (boss Pokme) yang menaja sarapan pagi kami.

9.00 pagi | Tapak permulaan dan melapor diri

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke tapak permulaan mendaki. Ruang parkir agak terhad,  dan kami sampai sudah agak lewat. Jadi, kami meletakkan kereta di tepi jalan sahaja. Tidak digalakkan sebenarnya, tapi kalau sudah terpaksa pastikan tidak menghalang laluan. Agak saja laluan yang ada muat untuk kenderaan besar seperti ambulan kerana memang ada kes ambulan tidak dapat melalui kawasan ini semasa kes kecemasan berlaku.

Ingat ya?



Kami melakukan persiapan terakhir di sini. Tandas awam ada disediakan, jadi selesaikanlah apa yang patut diselesaikan.

Lakukan juga sedikit warm up, agar urat sendi tidak terkejut. Heh!


X-Digipark

Oleh kerana ini "reunion" kami selepas beberapa tahun, maka bergambar untuk tujuan berlagak dengan rakan-rakan group Whatsapp adalah wajib. Heheeh! Mereka ini sahabat-sahabat pertama saya dalam dunia pekerjaan. Pokme dan Along terlebih dahulu bekerja di Digipark sebelum saya turut serta sebagai pelajar praktikal. Itu, sekitar tahun 1999.

Lama dah oi!


Melapor Diri

Selesai melapor diri dan bergambar sekeping dua, kami pun memulakan langkah.

Bismillah.

9.30 | Memulakan Pendakian



Perasaan apabila dikelilingi dengan kehijauan yang menyegarkan membuat hati sangat teruja. Ini suasana yang saya sangat rindukan. Sudah lama tidak dapat menghirup udara hutan yang sangat manis. Penat? Ya, ada. Tapi seperti dialog kebiasaannya, ini pengalaman yang berbaloi untuk setiap titik peluh tercurah.

Gitu!



Hampir sepanjang perjalanan ke puncak, laluannya mendaki. Ada yang agak landai, tapi kebanyakkanya memang bikin jantung berdegup laju. Hidung pun sudah serupa serombong kapal. Huhaaa... huhaaaa...! Nasib baik oksigen banyak!

Masa ini juga sesi "ice breaking" bermula. Saya ini, agak berat mulut untuk memulakan perbualan dengan orang baru. Tapi kalau sudah kenal, tidak ada masalah. Jadi, saya "mempergunakan" kamera saya sebagai pembuka bicara. Tambahan lagi, saya seorang saja yang bersungguh menjinjing kamera DSLR ke dalam hutan ni. Hahahaah! Entah berapa orang menegur sepanjang perjalanan.

"Wow! Power kamera bang!"

"Hebat pakcik, siap bawa kamera besar lagi"

Ha! Mau tau lah!



Mendaki ini, kalau asalnya berkumpulan buatlah cara berkumpulan. Sudah pasti ada yang lambat, ada yang laju. Tidak ada masalah. Dari kumpulan besar, pecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil. Berjanji, di tempat sekian-sekian bertemu semula. Jangan dibuat perangai mahu menjadi hero berseorang diri. Sehebat manapun, berpengalaman macam mana sekali pun, saran saya jangan lah berseorangan.

Inilah waktunya mahu tahu semangat setiakawan.

Dan saya sangat beruntung, ahli kumpulan saya sangat menyokong antara satu sama lain.



Dengan suasana segar dalam hutan yang hijau, sudah tentu banyak subjek menarik untuk dirakamkan dengan kamera. Gambar ahli kumpulan sudah tentu. Swafoto wajib. Heh! Flora dan fauna yang pelbagai bentuk, rupa dan warna juga sangat menggoda. Dengan kamera inilah saya mencatat kenangan, dengan gambar-gambar ini saya boleh berkongsi cerita.


12.30 tengahari | Sampai Ke Puncak

Hampir tiga jam mengerah tenaga, akhirnya kami sampai ke puncak Gunung Datuk. Kami sudah terpisah kepada beberapa kumpulan, dan saya berada dengan kumpulan yang di hadapan. Dan seperti yang telah dimaklumkan dari awal, "kesesakan" di puncak adalah sangat dijangkakan. Bukan kumpulan kami sahaja yang ada di situ.

Sementara menunggu ahli kumpulan yang lain tiba, saya dan Along merayap ke sekitar kawasan puncak.

Dan sudah tentu bergambar dengan penuh nafsu narsis.

Heheheheh!



Pokme rupanya sudah dilantik menjadi "sweeper", tukang hambat atau orang terakhir sekali bagi memastikan semua ahli kumpulan tidak ada yang ketinggalan. Sesuai dengan Pokme yang sangat penyabar. Saya sudah melolo jauh mengikut kumpulan di hadapan.

Semangat!



Akhirnya sampai ke saat yang ditunggu.

Rupanya ada lagi puncak yang perlu didaki. Puncak Gunung Datuk yang sebenar-benar puncak merupakan bongkah-bongkah batu besar yang semakin menirus meninggi. Saya sudah lihat gambar-gambarnya di internet, dan melihatnya sendiri di depan mata sedikit merisaukan.

Saya gayat!

Ada dua peringkat untuk sampai ke puncak. Kedua-duanya ada laluan bertangga. Untuk aras yang pertama, saya lepas walaupun sedikit menggigil. Bersungguh-sungguh saya merapatkan badan ke dinding batu, agar tidak condong ke ruang kosong di belakang.

Ahahahaah!

Kemudian, satu lagi laluan perlu didaki untuk betul-betul sampai ke puncak Gunung Datuk. Melihat laluannya yang merentasi gaung dalam, kaki saya sudah lembik tidak bertulang. Pokme dan Along kekal mengajak, saya kukuh pendirian tidak akan menyeberang. Maka, kekallah saya di aras pertama menyaksikan rakan-rakan lain ke aras seterusnya.

Rugi?

Entahlah. Mana tahu, ada rezeki saya ke sana lagi. Mungkin, kali itu saya sudah semakin berani.



2.00 petang | Turun

Setelah berehat, makan, minum, makan, minum dan bergambar, kami kemudiannya mula bergerak turun. Kalau mendaki memenatkan, menurun juga tidak kurang letihnya. Kaki harus kuat untuk menampung berat badan ketika menurun. Mata juga harus cekap memerhatikan laluan yang berselirat dengan akar-akar pokok. Ada kalanya akar-akar ini membantu, ada waktu lainnya menyukarkan pergerakan. Harus cekap memerhati dan menilai setiap langkah yang mahu diambil.
 

Kali ini saya memilih untuk berada dalam kumpulan belakang, bersama Pokme. Selain mahu berjalan santai (atau sudah kepenatan?), saya mahu menikmati perjalanan saya. Apa guna laju tetapi tidak menjamu deria dengan sapaan alam? Bunyinya, bentuknya. Asyik betul.

Sambil-sambil, dapat juga berborak-borak. Bersilaturrahim.



Jam 3 petang, kami selamat sampai di bawah. Sebelum sampai di pondok melapor diri, ada satu pokok yang sangat besar dan tinggi. Sempat saya merakamkan beberapa keping gambar di situ. Entah berapa pemeluk agaknya.



Gunung Datuk bagi saya tidaklah begitu sukar untuk didaki (setakat ini). Laluannya sangat terang. Cuma bahagian gayat itu saja yang belum dapat saya atasi. Mungkin lain kali.

Insya-allah.












Reactions

Post a Comment

0 Comments