Kegilaan Dunia Maya Media Sosial Yang Menyesakkan Dada

Melihat isu-isu viral (yang mengundang kecaman) di dunia media sosial, saya menjadi risau dan takut.

Satu, tingkah pelakunya sendiri yang bagaikan sudah hilang kemampuan untuk mempertimbangkan antara yang baik dan buruk, memilih yang mana boleh dikongsikan di media sosial atau tidak. Tidak terfikirkah kesan dan akibat? Faham atau tidak bagaimana media sosial berfungsi? Semberono berkongsi perkara yang tidak jelas apa faedahnya pada diri sendiri dan orang lain, bakal memberi kesan yang tak terjangka.

Terlajak perahu, boleh diundur. Terlajak kata, merana!

Aduhai kawan ingatlah juga, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan sengsara!

Walhal, itukan perkara asas yang sudah lama dididik. Dalam agama, dalam adat.

Fikir! Fikir!

Kedua, tindak balas para netizen (kepada pelaku di atas). Saya rasa, ini lebih membimbangkan. Melihat perkara yang "gila" di internet, pilihan wajar (bagi saya) ialah biarkan saja ia berlalu. Ambil iktibar, ambil pengajaran kalau ada. Cukup. Tetapi yang membusukkan adalah, mereka (netizen) bergerombolan pula mencari maklumat peribadi si pelaku untuk didedahkan kepada masyarakat. Habis dibongkar maklumat seperti keluarga, kerja dan lain-lain. Aduhai! Yang salahnya pelaku, tetapi kenapa menjadi begitu jijik melibatkan ahli keluarganya yang lain? Takutnya, gambar anak-anak tersebar kerana kelakuan bapa / ibu yang tersilap langkah. Dicacinya itu ini. Kemudian bergelak ketawa beramai-ramai. Apa lagi kalau sipelaku tertangkap dan terhukum, bertepuk tanganlah warga maya yang gagah perkasa di balik skrin telefon/komputer.

Kecewa!

Kenapalah sampai begitu.

Berpada-pada.



Ini menjadikan saya lebih berhati-hati dari terjebak ke dunia maya yang tidak berhati perut.

Saya menapis rakan-rakan di media sosial. Tidak semua saya "terima" untuk bersahabat kerana saya sukakan individu yang dikenali dan terbukti wujud. Dikenali dalam erti kata pernah berjumpa bertentang mata, atau setidaknya kelompok "mutual friend" adalah dari kelompok yang tak diragui. Mengawal tingkah laku, saya tak mampu. Tetapi "mengawal" sahabat adalah pilihan mutlak saya.

Lagi pula, saya berkongsi cerita keluarga terutamanya anak-anak. Sebab itu juga, saya sudah menghadkan akses kepada gambar-gambar keluarga di dalam FB dan IG. Hanya untuk rakan sahaja. Tidak untuk orang lain.

Caranya mudah.

1) Untuk di FB, saya buat satu album (ie; Keluargaku Sayang)
2) Saya setkan "Privacy" album itu hanya untuk "Friends". Maknanya, rakan FB sahaja boleh melihat album ini.
3) Atau, boleh juga setkan "privacy" itu kepada "Friends, except....". Maknanya, boleh juga menghalang akses kepada beberapa orang "rakan" yang masih diragui atau belum benar-benar dikenali.

Saya gunakan kaedah (3), kerana ada beberapa orang individu yang saya "terpaksa" bersahabat atas sebab-sebab tertentu.

Ada kebaikan menggunakan album di FB ini, kerana sekarang FB memberi pilihan juga untuk setiap posting (walaupun tidak ada gambar) untuk dimasukkan ke dalam album.

Di Instagram, setkan saja "Private". Cukup. Hanya yang bersahabat saja boleh melihat.

Terkawal semuanya.

Kawan, jadilah yang bijak yang pandai. Dan tegurlah sesama kita agar ada yang tidak tersasar, terutamanya diri saya ini.







Reactions

Post a Comment

0 Comments