Hero Yang Dimamah Usia

Bzzz! Bzzz!

Ada mesej Whatsapp yang masuk. Ada pesanan yang ditinggalkan oleh kakak saya, Kak Ijah dalam group "Adik-Beradik". Group kami berlima, anak-anak Haji Mohamed Yusof dan Hajah Samsiar.

"Nak bagitau ni..."

Ah!

Permulaan ayat sebegini selalunya bukan ada cerita yang seronok. Lagi-lagi saya sudah maklum, waktu mesej itu sampai Kak Ijah berada di klinik bersama abah. Paginya seawal jam 6.30 saya sudah menghantar abah ke klinik untuk rawatan cuci darah (hemodialisis). Jam 10 pula ada doktor pakar yang datang melawat untuk pemeriksaan. Kak Ijah mengambil giliran menemankan abah waktu itu.

10.30 pagi, mesej pun masuk sampai ke dalam telefon.

"Doktor cadangkan abah cuci darah di hospital yang ada doktor. Di klinik (sekarang), doktor jarang ada. Pulse abah lemah sangat. Blood pressure ok, tapi jantung yang lemah sangat."

Saya kelu.

Baru benar saya buat temujanji untuk abah di IJN atas saranan doktor HKL minggu lepas, hari ini doktor di klinik maklumkan pula keadaan kesihatan abah yang semakin merosot.

"Kalau dah pindah ke hospital, abah perlu dipantau tak boleh ditinggalkan. Takut ada apa-apa terjadi."

Ah!

Faham sendirilah maksudnya.

Saya segera ke tandas pejabat. Gagal mengawal air mata yang mengalir deras. Ya, saya juga semakin cengeng kebelakangan ini, lagi-lagi melibatkan hal keluarga. Ah! Imbasan-imbasan bersama abah pun, datang bertalu-talu di fikiran.

Hero

Abah memang lelaki yang saya puja namun tak pernah terluah secara nyata. Tahun ini, usianya bakal genap 74 tahun bulan Disember nanti. Saya perhatikan wajah abah yang semakin dimakan usia, rasa hiba menyelinap ke dalam hati.

Melihat latar belakang abah yang berwarna-warni, menimbulkan rasa kagum, bangga, pedih dan tentunya, cinta.

Abah anak kelima daripada enam adik-beradik. Empat yang terdahulu, sudah kembali ke rahmatullah. Tinggallah abah berdua dengan Busu, yang sekarang juga semakin dimamah usia.

Abah bersekolah setakat darjah enam sekolah melayu, sebelum mula bekerja kampung menyara hidup. Untuk memajukan diri, abah mendaftar sebagai perajurit negara menjadi tentera. Satu Malaysia abah merantau, walaupun anak sudah bertambah menjadi tiga.

Abah dan emak pernah berkongsi satu rumah tiga keluarga, berjimat cermat atas desakan hidup. Makan kadang-kadang cari sendiri ikan di sungai atau sayur di hutan. Ada waktu terdesak, nasi hanya berlaukkan garam dan cili. Abang dan kakak-kakak saya merasa keadaan ini.

Abah dan mak hanya ketawa berceritakan pengalaman yang sangat mencengkam perasaan.

Tahun 1977, abah berhenti menjadi askar. Modal hasil bekerja selama beberapa tahun, abah mulakan berniaga di pasar malam menjual buah-buahan. Sedikit demi sedikit, abah mengumpul modal membeli kereta yang kemudian berkembang menjadi perkhidmatan bas sekolah. Kemuncaknya, abah berjaya membeli sebuah bas dan sebuah van untuk mengembangkan perniagaan perkhidmatan ini.

Wah!

Bas (van) sekolah abah yang bercat kuning itu, pernah dipandu jauh ke Muar dari Gombak untuk melawat saya yang bersekolah di situ selama dua tahun.

Abah pernah juga gigih memuatkan motor ke dalam van Liteace biru, untuk dihantar kepada saya yang belajar di Sintok, Kedah.

Abah buat semuanya, untuk anak.

Asalkan anak-anak mahu memperbaiki hidup, abah berkorban apa saja. Sudah bercucu pun, abah masih berkerja sehingga usianya mencecah 70 tahun. Bosan duduk di rumah, katanya.

Jadi, bagaimanalah tidak saya jatuh cinta dengan lelaki berketurunan Minang ini?


Usia Senja

Tahun 2017, abah pernah terkena hypo. Mulutnya herot, lidah menjadi seperti pendek. Abah tak mampu bercakap. Walau mata terbuka, abah seperti tidak bersama kami. Memang kecoh jadinya. Terpaksa kami panggil ambulan untuk membawa abah ke hospital.

Waktu itu, saya tahu abah sudah semakin tidak kuat. Tenaga abah yang telah diguna sepenuhnya ketika usia muda sehingga renta untuk bekerja, sudah semakin meninggalkan badan.

Badan abah yang sedikit gempal, suduh menyusut kurus.

Selera makan abah yang kuat, sudah mula mengendur.

Kalau di awal pencen abah masih mampu membawa motor untuk membeli minum pagi, sekarang sudah tak larat lagi.

Sedikit demi sedikit, hero saya semakin terikat dengan lumrah kehidupan usia senja.

Tidak putus doa saya untuk kesihatan dan kekuatan abah.

Dan tak serik-serik saya berdoa agar saya dan adik-beradik tidak menjadi anak yang derhaka.

Usia abah begini, kamilah  lima beradik yang menjadi tongkat.



Abah.

Ijam sayang abah. Dunia akhirat.

:(




Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#julyblogposts #july2019entries

Topik hari #21 : HERO






Reactions

Post a Comment

0 Comments