[Ulasan Buku] Arah Langkah (Fiersa Besari )

#1
Nama Fiersa Besari sangat besar, malangnya saya baru saja mengenali beliau. Itupun sebab beberapa orang rakan di FB kerap berkongsi video beliau di Youtube.

#2
Dan tanpa disangka-sangka, saya ada membeli sebuah buku beliau yang bertajuk Arah Langkah ini.

#3
Sebab saya memilih buku beliau ialah buku ini bertemakan kembara, apatah lagi pertualangannya besar merangkumi satu Indonesia.

#4
Isi kandungannya, memang saya suka. Kisah-kisah merantau yang memaparkan sisi kelangsungan hidup serta pertemuan dengan manusia-manusia yang punya pelbagai kisah hidup.

#5
Saya sedikit terkejut dengan "pendedahan jujur" oleh penulis tentang perkara-perkara "dosa" yang dilakukan tanpa ada rasa segan. Kosa kata "berfikiran terbukalah" seperti seruan manusia zaman ini, masih belum dapat saya cernakan untuk mengatasi suruhan tuhan yang menyuruh supaya aib disembunyikan, dan disesali.

#6
Pelik sekali, saya terus akur membaca coretan itu sebagai pelengkap cerita seorang manusia yang tidak sempurna.

#7
Keseluruhannya buku ini bercerita dengan baik, memaksa saya mencari lokasi setiap tempat yang dijejaki Bung bersama dua rakan kelana beliau yang sama-sama tegar, namun akhirnya terpisah akibat keperluan yang mendesak.

#8
Akan ada buku seterusnya, saya jangka. Atau sudah pun terbit?

#9
Kecacatan buku tiada ampun! Beberapa mukasurat hilang (halaman 235 - 245) dan digantikan dengan mukasurat yang lain.

#10
Kalau tiada kesilapan nombor #9, saya seikhlasnya memberi 5 bintang untuk buku ini.


Arah Langkah (Fiersa Besari )





Reactions

Post a Comment

0 Comments