Petang Isnin 2 Muharam 1441H, di sebuah ruangan kecil dalam UNITEN, bergema suara kami membaca surah 83 ayat itu.
Alhamdulillah. Saya diberi kesempatan bersama untuk majlis ini, sekaligus bertemu dengan rakan-rakan yang kebanyakkannya datang dari segenap pelusuk Lembah Kelang.
Untuk kesekian kalinya, kami bekas pelajar Kolej MARA Kuala Nerang, batch 95/96 berkumpul untuk majlis yang dianjurkan. Ada lebih kurang 23 orang yang hadir, satu jumlah yang agak besar untuk majlis sebegini.
16 lelaki.
6 perempuan.
Dan seorang gadis yang dicintai sepenuh hati oleh selonggok Sharulnizam. Kah!
Kami kemudian duduk membuat bulatan kecil di lantai, untuk memulakan acara. Ada sedikit riak wajah kepayahan untuk merapatkan sila. Masing-masing tersengih, faham dan akur dengan keadaan diri yang semakin gebu tanpa halangan.
Salman dan Riza membuka bicara, saling mengingatkan agar ada ikhtibar dipelajari daripada peristiwa yang berlaku. Usia sudah semakin berkurangan, harus beringat dengan keadaan diri.
Begitulah.
Saya melihat satu persatu wajah yang hadir.
Aduhai! 24 tahun yang lalu, kami berhimpun begini juga di surau kolej setiap malam Jumaat untuk membaca Yassin. Diteman kumbang dan belalang yang kadang kala merayap masuk ke dalam baju, suara kami yang masih muda dan bertenaga terus utuh membaca ayat demi ayat.
Lampu kalimantang di siling menyala terang, sesekali diiring bunyi berdengung melawan suara keramaian cengkerik di luar.
Kami, yang masih bersemangat waja merantau menuntut ilmu, kemudian menamatkan bacaan Yassin dengan sedikit tazkirah. Dan sementara menunggu Isyak tiba, kami berbual-bual kecil sambil bersandar di dinding surau. Bergelak ketawa, sehingga ditegur warden Cikgu Adnan (arwah) yang mengawasi.
Wajah-wajah itu, manis sekali.
Siapa sangka, selepas 24 tahun masih kuat bertaut silaturrahim yang terbina. Dari zaman remaja, sehinggalah sudah berkeluarga. Kami kembali bersila berlaga lutut bersentuh bahu, membaca Yassin untuk mereka yang tidak lagi ada peluang untuk kembali berkumpul begini.
Allahu.
Biarlah ukhuwah begini terus erat terjalin. Rakan-rakan yang baik begini, tak ada galang gantinya. Beruntungnya saya yang serba kekurangan ini, dikelilingi manusia yang berjiwa besar dan saling mengingatkan.
Terima kasih Salman Abdul Wahab & Norul Hidayah Ibrahim, Abu Fidaa & Rin Hane Koma, serta rakan sebilik saya yang paling kacak di KMKN, Razif Mohazar Ramli. Terima kasih kerana menganjurkan majlis ini. Terima kasih juga kepada rakan-rakan lain yang hadir. Semuanya, terbaik belaka.
Insya-allah, ada kesempatan lain kita berjumpa lagi.
Video
Ini ada video pendek sekitar majlis untuk dijadikan kenangan._____
Sharulnizam Mohamed Yusof
Cembeng
Isnin, 2/9/19
0 Comments