Tangisan Nur Hanis Menjelang Subuh

Jam 5.54 pagi.

Telefon saya di atas kepala katil berbunyi. Tertera nama "STF - Phone 2" pada skrin dan saya bingkas menjawab.

Tiada bunyi.

Saya tukar kepada mod loud speaker.

Senyap.

Beberapa saat kemudian, terdengar perlahan suara yang saya rindu.

"Abah."

"Ya adik."

Baru malam tadi saya menyebut-nyebut entah jam berapa pula orang JB akan buat panggilan. Sangka saya, jam 11 juga. Rupanya tertunda ke pagi. Sebelum Subuh.

Senyap.

Tiada suara yang kedengaran dari hujung talian telefon satu lagi. Suara yang saya tunggu, berganti dengan esakan.

Adik menangis!

Dari perlahan, semakin kencang.

Abah luluh.

Hanis abah menangis di waktu pagi begini, pasti ada sesuatu yang besar berlaku.

Saya berlari turun ke ruang tamu, mendapatkan ummi Hanis untuk sama-sama mendengar.

Saya sudah tak keruan, tapi cuba menenangkan diri. Hampir lima minit saya memujuk Hanis bercakap, yang kedengaran hanyalah esak tangisnya.

Allah.

Ingin abah ke sana sekarang juga. Abah nak peluk Hanis. Mahu pujuk Hanis. Hanis jarang menangis selama ini, apa lagi di depan abah. Kali akhir dia menumpahkan air mata, sewaktu mengambil keputusan UPSR tempoh hari. Sebelum itu? Saya tak ingat.

Saya terus memujuk.

Akhirnya si comel abah membuka bicara.

Nur Hanis Sharulnizam

Katanya, malam tadi dimarah senior. Itu ini begitu begini, dia meluahkan. Kata dia, Hanis tak buat seperti yang dituduh kakak. Tak pasal-pasal dimarahi.

Aduh, sayang abah.

Sudah abah pesan tempoh hari, memang akan ada senior yang akan cuba menunjuk kuasa, berlagak tak ketahuan hala. Sabarlah. Mereka sedang menikmati masa (sia-sia) yang diidamkan lama. Bertabahlah seminggu ini. Habis orientasi nanti, hilanglah perangai diva kanak-kanak baru nak kenal hidup itu.

Tapi, iyalah.

Kata-kata abah, tak sama dengan pengalaman Hanis sendiri. Abah tahu, Hanis mahu membela diri seperti selalu (bercakap hal yang betul), tetapi tak terluah disebabkan "kesamsengan" kakak senior.

Sabarlah, adik.

Pesan abah dan ummi, istighfar. "Lawan" dengan senyuman dan kesabaran. Berdoa agar terus diberi kekuatan dan kakak senior yang insaf. Amalkan bacaan surah Al-Insyirah, moga-moga ada kelapangan diberi Allah.

Perbualan telefon selama 13 minit pagi itu, menjadi perbualan yang paling menjerut rasa. Hal-hal "kecil" pembulian ini, saya boleh tutup mata. Sudah dijangka, dan masih dalam keadaan terkawal. Ya, itu tidak sihat kerana mendera mental dan emosi. Tapi sudah menjadi budaya duduk asrama, begitulah. Yang paling-paling boleh dibuat pun, esok nanti kalau sudah menjadi senior, jangan pula dibuat perkara sebegitu kepada junior. Tak usah membalas dendam.

Saya memujuk. Umi pun memberi nasihat. Hanis sudah mereda, tapi esaknya masih ada. Hanya kerana syiling telefon sudah kehabisan, kami berpisah di talian.

Abah tewas juga.

Tak sanggup betul mendengar anak menangis sebegitu.

Abah tahu Hanis penat.

Abah tahu Hanis belum lagi dapat membiasakan diri tidak lagi bersama keluarga.

Abah tahu Hanis risau dan takut dengan tempat baru.

Sabarlah sayang.

Ada manisnya nanti.

Insya-allah.





Reactions

Post a Comment

1 Comments

  1. Memang ada yang begitu. Maklumlah waktu guru2 dan ibu bapa masing2 tiada di depan mata.
    Namun, berdasarkan pengalaman...senior2/ rakan2 sebaya yg begini, banyak dipengaruhi oleh cara masing2 membesar.
    Sama ada membesar dalam keluarga yg kedua2 ibu bapa (atau salah seorang) suka mem"buli" anak2 tak tentu pasal, ibu bapa yg tak perasan entah berapa kali marah diiringi dengan kata2 kesat yg tanpa disedari di"serap" oleh anak2, ibu bapa yg mengambil kesempatan menggunakan anak2 utk jadi "orang gaji" di rumah (sedangkan mereka tak memberi contoh ataupun ibu bapa itu sendiri yg malas nak buat kerja2 di rumah - asyik order anak2 tanpa kerjasama), dan macam2 lagi perangai.
    Ibu bapa tak perasan yg anak2 akan " eventually" berperangai seperti itu. Waktu tiba kesempatan mereka di mana ibu bapa yg "digeruni" tiada, contohnya seperti di asrama akan terzahirlah perangai2 yg mereka alami dari rumah mereka sendiri sepanjang membesar.
    Ada lagi satu jenis, yg "mulut buli". Mereka dr pelbagai latar belakang, ini termasuk juga2 anak2 yg dimanjakan/ spoilt.
    Sepanjang membesar asyik dengar ibu atau bapa yg kaki mengumpat/menyindir...pendek kata, kita sebagai orang dewasa meskipun di depan masyarakat kelihatannya macam baik, tapi perangai sebenar kita di rumah lebih kena jaga - sebab ada yg akan ikut iaitu anak kita sendiri.
    Kalau nak senaraikan pepatah Melayu dulu2 berkaitan perangai anak2 yang mencontohi ibu bapa memang byk, seperti, bapak borek anak rintik, dimanakan tumpahnya kuah, guru kencing berdiri anak murid kencing berlari, bagaimana acuan begitu jualah kuihnya, dan macam2 lagi.
    Akhir kata, kes buli disekolah, bukannya 100% terbit dari anak2 remaja ini tanpa sebarang punca.
    Oh ye, lagi satu....jgn lupa apa yg ditonton oleh anak2 sepanjang mereka membesar, dan jangan ingat movie2 di tv atau wayang tidak mempengaruhi minda anak2 yg membesar. Ini juga faktor, iaitu ingin berperangai seperti watak2 popular di tv. Dalam hal ini, ibu bapa jugalah yg sepatutnya bertanggungjawab dalam memantau apa yg ditonton oleh anak2.
    Bukannya ambil mudah, letak anak depan tv/komputer/ handphone, supaya mereka duduk diam kononnya. Tapi apa yg berlaku dalam otak mereka, lebih2 lagi anak2 yg bijak..hmm hanya Allah saja yang tahu.

    ReplyDelete