[Ulasan Buku] Di Sebalik Tirai Layar Oleh Hidir Ali Razali

Saya taklah boleh digelar seorang penonton tegar filem-filem lama, apa lagi kalau mahu dikatakan peminat filem P Ramlee. Banyak lagi filem Allahyarham yang belum saya tonton. Antara Dua Darjat yang terkenal itu pun, saya hanya tahu secubit-secubit. Filem beliau selepas kembali ke Malaysia, Do Re Mi dan Masam-masam Manis saja yang saya ingat. Kalau yang komedi, rasanya sudah khatam.

Tapi yang paling saya ingat kalau menonton filem lama ini ialah ketika menonton bersama mak. Daripada mak, saya akan tahu cerita-cerita artis ini. Misalnya, Tuan Puteri Si Bujur Sireh dan Mak Inang dalam filem Nujum Pak Belalang, kedua-duanya di luar filem adalah anak-beranak!

Jadi apabila melihat buku ini, saya terus membuat pesanan tanpa ragu. Entah kenapa, saya jadi minat untuk tahu tentang dunia perfileman tanah air sekitar 50-60 tahun yang lepas.

Di Sebalik Tirai Layar Oleh Hidir Ali Razali

Membaca setiap bab peristiwa di Jalan Ampas membawa semula kenangan menonton bersama mak. Mak begitu memuji kecantikan Saadiah dalam filem Semerah Padi. Rupanya waktu itu, Saadiah baru saja selepas berpantang melahirkan anak yang sulung (Kak As kitalah, siapa lagi). Semerah Padi juga pertama kali mengangkat adat Melayu dan Islam ke dalam filem, selepas bertahun-tahun banyak dipengaruhi elemen India (disebabkan pengarah waktu itu banyak berasal dari sana).

Nordin Ahmad, hero pujaan tanah air juga melonjak namanya selepas filem Semerah Padi. Walhal, sebelum itu beliau hanya diberi watak sampingan. Namun dengan strategi yang dibuat P Ramlee, Nordin Ahmad berjaya menempatkan diri sebagai teraju utama filem Melayu selama beberapa tahun.

Seronok mendengar (membaca) cerita orang-orang lama tentang keterbatasan, disiplin dan kesungguhan pelakon dahulu melunaskan tanggungjawab sebagai pelakon. Mereka meletakkan "populariti" sebagai perkara yang akan datang selepas melaksanakan tugas dengan baik. Tak hairanlah, kualiti lakonan mereka jauh lebih baik dan berkesan sehingga hari ini.

Ingat Salleh Kamil? Ingat Mahmud June? Kalau berlakon menjadi jahat, sungguh-sungguh jahatnya. Sampai orang benci. Tapi sekali bertukar watak komedi (tuan penasihat dan Pak Maon), sampai ke hari ini orang ingat!

Buku ini bukan sekadar bercerita tentang sejarah lama. Sebaliknya, ada ikthibar yang boleh kita pelajari dan amalkan daripada kisah kehidupan artis-artis lama ini.

Al-Fatihah untuk mereka yang telah meninggalkan kita semua.

#sharulmembaca 
#malaysiamembaca 






Reactions

Post a Comment

0 Comments