"Sharul, kau nak air apa?"
Tiap kali disoal begini dalam sebuah gedung kopi yang senarai menunya entah apa pun tak saya faham, saya memilih untuk menikmati minuman bercoklat.
Coklat blended.
Coklat ais.
Coklat panas.
Kopi?
Tak pernah. Dan tak akan.
Mari saya kisahkan kenapa saya tidak mahu kopi menerjah masuk ke dalam kerongkong selamat hayat hidup saya di dunia.
Babak 1
"Kau minumlah kopi tu, nanti kulit kau hitam!"
Saya telan ayat itu tanpa bahas, dan hampir beberapa tahun kepercayaan itu saya anuti. Iya lah, yang mengatakan ayat itu ialah mak dan abah saya sendiri. Untuk budak lelaki yang masih tak tahu menyikat rambut selain gaya belah tepi, kata mak dan abah adalah keramat.
Dan waktu itu juga antara kami lima beradik, sayalah yang paling gelap!
Jadi, memanglah saya percaya kopi akan membuatkan kulit saya hitam.
Mujur saya percaya.
Kalau saya berterusan minum kopi, saya bakal diambil berlakon menjadi watak Awang Senandong.
Kah kah kah!
Babak 2
Selepas saya faham apa itu tahyul dan mitos tentang kepercayaan selama ini, akhirnya saya cuba belajar minum kopi. Barangkali sudah terlewat, deria rasa saya tak mampu menelan pahitnya kopi walaupun dalam masa yang sama, deria bau saya sangat terpikat dengan keharuman air "bontot kuali" keluarga Pak Belalang ini.
Sampai hari ini, deria rasa dan bau saya masih mempunyai kata sepakat dalam hal perkopian.
Namun, wujud pula Nescafe yang mengganti kopi. Mak dan saya, menjadi peminum tegar Nescafe yang dibancuh dengan susu pekat manis. Kalau kena sukatannya, dua tiga cawan pun mampu saya seduh.
Pengakhiran Babak
Namun sejak tahun 2019, saya sudah mula mengurangkan pengambilan air Nescafe dan berhenti sepenuhnya sejak tahun 2020. Dihidang panas dan berbuih-buih gebu sekalipun, sudah hilang selera saya pada Nescafe. Sekaligus menamatkan langsung hubungan saya dengan kopi.
Kenapa?
Kerana sudah kerap, selepas meneguk caffein ini walau secawan, saya akan diserang sakit kepala, sakit dada, hypo dan segala macam penyakit yang menyeksakan. Jeran! Saya nekad untuk berhenti serta-merta dan Alhamdulillah, serangan sakit sudah makin menjauh.
Ya, kawan.
Daripada kepercayaan kopi itu menghitamkan sehinggalah kopi itu menyiksakan, itulah babak-babak kehidupan bersama kopi.
0 Comments