Kelebihan Brisk Walk Bersama Anak Dan Isteri. Single Pun Boleh.

Apa itu brisk walk? Menurut maklumat yang saya perolehi, brisk walk juga dikenali sebagai speed walk, terjemahan literalnya ialah berjalan laju.

Berapa laju?

Untuk brisk walk, kelajuan yang disarankan ialah 3 batu per jam, atau dalam sistem matrik sejauh 4.83 kilometer per jam. Kalau diperhaluskan lagi, untuk setiap 1 kilometer purata kelajuan (pace) brisk walk antara 12-13 minit.

Huuuu....

Saya ni, kerap juga brisk walk bersama awek kesayangan dunia akhirat. Setakat ni masih istiqomah berdua-duan di pagi hujung minggu buat brisk walk antara 3-5 kilometer. Purata kelajuan antara 13-15 minit per kilometer.

Brisk walk versi slo-mo namanya. Hahaha!

Tapi saya rasa, itu sudah cukup memadai. Lama-kelamaan boleh diperbaiki. Dulu masa kami baru bermula, 1 km ambil masa sampai 17 minit. Memang lenggang mak limah. Tapi makin lama makin ada peningkatan. 

Mungkin sasaran seterusnya ialah 12 minit untuk menepati syarat brisk walk.


Menikmati Pagi Bersama Kesayangan

Seronok sebenarnya brisk walk ni. Tak pressure macam jogging. Santai saja jalan kaki. Paling bagus, kita buat aktiviti ni bersama keluarga. Berdua-duaan dengan Cik Milah waktu pagi sambil berbual-bual gelak ketawa, terimbau kenangan satu waktu dulu di Ulu Sintok. Romantis betul dua remaja tengah angau berjalan kaki bersama ke dewan kuliah. Biar kepam ketiak lencun dek peluh, biar basah baju kemeja, biar masam tali leher buat pengelap peluh, asal dapat bersama bakal zaujah hati pun senang.

Kah kah kah!

Kalau 24-25 tahun dulu sanggup berjalan berkilo-kilometer di bawah terik matahari negara utara, jadi kita ulang semula memori tu untuk kenangan 20 tahun lagi.

Insya-allah. 

Lagi seronok kalau ada lagi yang meneman. Tentulah si bongsu yang mulutnya tak habis-habis menceceh sepanjang perjalanan.

Kelebihan Brisk Walk Bersama Anak Dan Isteri. Single Pun Boleh.
Kelebihan Brisk Walk Bersama Anak Dan Isteri. Single Pun Boleh.
Kelebihan Brisk Walk Bersama Anak Dan Isteri. Single Pun Boleh.
Kelebihan Brisk Walk Bersama Anak Dan Isteri. Single Pun Boleh.
Kami tiga beranak menikmati pagi di Gombak sambil brisk walk


Selain brisk walk, ada satu senaman lagi yang murah dan mudah. Pernah cuba jumprope atau skipping?


Kelebihan Brisk Walk

Daripada pembacaan saya, brisk walk sudah tentulah ada faedahnya tersendiri. Antara yang saya jumpa ialah dapat mengurangkan risiko penyakit jantung, diabetes dan beberapa jenis kanser seperti kanser kolon.

Tentulah, syaratnya juga ada. Sekurang-kurangnya seminggu buat aktiviti ini selama 150 minit, yakni 2 jam 30 minit. Kalau dibahagikan, hanya 20-30 minit sehari. Insya-allah,  sangat mudah dicapai lagi-lagi kalau kita berkerja dari rumah (WFH).

Brisk walk juga satu senaman yang mudah dan murah. Sarungkan kasut dan pakaian yang bersesuaian, kita sudah boleh memulakan aktiviti di sekitar kawasan rumah. 

Kalau orang kampung lagi lah seronok. Udara pagi lebih segar dan keadaan aman dan damai. Balik dari surau solat Subuh, dah boleh mula brisk walk. Dalam perjalanan balik, singgah ke warung beli sarapan pagi. 

Apa-apa pun, buat mengikut kemampuan sendiri. Jangan memaksa, jangan berlebihan. Takut kesihatan yang dicari, mudarat yang kita dapat. Kalau perlu, dapatkan nasihat doktor sebelum memulakan aktiviti.

Jom.

Kita hidup gaya sihat.







Reactions

Post a Comment

0 Comments