Panggilan Telefon Yang Merosakkan Mood

Pagi tadi saya dapat satu panggilan yang bermula dengan ayat standard, "...boleh saya bercakap dengan Encik Sharulnizam..."

Orangnya mahu menjual insurans. Selalunya cepat saja saya katakan tak berminat. Tapi tadi saya layan juga, sebab entah kenapa suara dia bernada sedih. Saya dengar juga apa yang ditawarkan, semuanya Insya-allah sudah dicover oleh takaful saya.

Nampak gaya, perbualan perlu ditamatkan.

"Takpe lah ya. Saya dah ada takaful."

"Bagus encik dah ada. Tapi boleh saya terangkan lagi?"

Dia pun sambung berceloteh. Sama. Masih sama faedahnya dengan takaful sedia ada.

"Ya, tawaran ni sama je. Saya dah ada."

"Bagus encik. Tapi kami ada beberapa lagi faedah yang..."

Saya dah rimas. Daripada bersimpati, sekarang sudah timbul rasa jengkel. Sama ada dia tak percaya saya benar-benar sudah ada takaful, atau dia memang sudah diasuh untuk terus mendesak.

Saya faham, ini cara mereka mendapatkan pelanggan. Ada sasaran bulanan. Ada pelanggan, ada lah pendapatan. Mungkin juga mahu membuat sasaran dapat melancong secara percuma kalau dapat banyak buka akaun. 

Panggilan Telefon Yang Merosakkan Mood
POV bila dapat panggilan hard sell

Semenjak saya mula bekerja, berkeluarga; sudah silih berganti takaful/insurans yang saya langgan. Ada ejen dari kalangan saudara, kawan-kawan, ada yang diperkenalkan orang, ada juga yang muncul entah dari mana.

Saya ok saja.

Cuma saya meluat dengan ejen-ejen yang semasa mahu mendapatkan tandatangan di atas kertas, bukan main lagi dia melayan. Bila dah dapat, senyap sunyi. Ada beberapa kali takaful saya bermasalah, ada yang saya hanya dapat tahu selepas beberapa tahun. 

Ya, sebahagiannya silap saya juga. Tapi bila mahu rujuk pada ejen, rupanya ejen pun dah lama berhenti. Akaun saya dicampak entah ke mana. Terkontang-kanting kita buat penyelesaian sendiri. Saya fahamlah, ejen takkan selamanya kekal, tapi sebagaimana aktifnya berhubung ketika mahu membuka akaun dulu, tak bolehkah ambil sedikit effort untuk maklumkan kepada pelanggan alternatif contact lain selepas berhenti?

Rasanya itu common sense. Maklumat pelanggan mestilah ada kan?

Orang-orang dalam bidang ni, ambil maklumlah hal yang nampak kecil. Kecil, tapi boleh membawa kesan yang besar. Pelanggan boleh hilang percaya dan malas mahu teruskan. Kau bising orang lari dari kau, tapi kadang-kadang kau pun perlulah ambil masa untuk nilai diri sendiri. Apa lagi dari dari ejen berstatus kawan, saudara; dia punya rasa piss off tu memang membara lah.

Maaflah.

Membebel panjang. Mood tak baik. Lepas dapat call tu tadi, dapat pula SMS satu writ penyitaan dan penjualan akan dikenakan kepada saya.

Saya yang bernama Murugan a/l Sundararaj.

😒 









Reactions

Post a Comment

0 Comments