Puasa & Raya Dulu-dulu #2 | Bersahur, Berbuka Dan Mercun

Bagaimana ya puasa saya pada tahun 80-an? 

Mari saya kongsikan.

Dengung lampu kalimantang menjadi muzik yang paling kuat dinihari itu. Saya yang masih lagi dalam awangan lena, terkulat-kulat membuka mata duduk di meja dapur. Yang lain-lain sudah pun menyudahkan sahur, ada yang baru memulakan suap.

"Cepat makan tu, dah nak habis waktu dah ni!"

Mak memberi arahan, sambil menuangkan teh panas ke dalam cawan untuk abah. Saya membasuh tangan di sinki, langkah perlahan disebabkan sistem badan yang masih belum berfungsi sepenuhnya.

Saya melihat lauk-pauk di atas meja.

Ada nasi panas seorang sepinggan. Ada lauk ikan kembung goreng sambalado, juadah khas orang minang yang tetap menjadi pilihan teratas saya sehingga hari ini. Ah, mak memang tahu memancing selera. Suap saya menderas laju sehinggalah butir nasi yang terakhir.

Alhamdulillah.

"Dah baca niat ke belum tu?"

"Dah."

"Cuba baca, mak nak dengar."

"Sahaja aku berpuasa esok hari dalam bulan Ramadan kerana Allah Ta'ala."

Mak mengangguk. Abah mengiyakan.

"Jangan tidur balik, kejap lagi nak mandi pergi sekolah."

Aduh! Niat mahu kembali merebahkan diri ke atas katil dan menyambung mimpi menjadi Sizuka The Ninja terbatal. Saya duduk di ruang tamu terkebil-kebil menahan kantuk.

Tahu-tahu sudah Subuh dan masanya untuk mandi.

Satu baldi berwarna merah sudah tersedia dalam bilik air. Kadang-kadang besen hijau yang sudah sumbing di hujungnya mengganti baldi yang bertugas untuk merendam baju. Mak menuang air panas yang baru lepas dijerang ke dalam baldi. Gayung demi gayung air dari kolam pula dijirus emak untuk meredakan panas air tadi. Sesekali mak mencelupkan tangan mahu memastikan air sudah cukup suam untuk saya mandi pagi.

Segarnya!

Mak membantu saya bersiap. Bedak Cuticura disalut ke muka bagai ikan mahu digoreng tepung, rambut hitam pula disikat tepi dengan minyak rambut Code 10.

Hemsem kali, gais!


Berbuka

Saya tak ingat semenjak bila saya berbuka penuh. Penuh sehari dan juga penuh sebulan. Entah puasa yang yok, balik sekolah buka periuk. Tak ingat. Tapi waktu berbuka tentulah waktu yang dinantikan. Juadah berbuka yang pelbagai, yang sedap, yang manis, memang bikin hati tak keruan.

Ada juga waktu saya tak berpuasa, saya tak dibenarkan duduk bersama yang lain. Saya ditugaskan menjaga adik bongsu tidur di buai dalam bilik. Memang 'bengkek' lah, geram tak dapat makan bersama. Walaupun selepas tu saya masih dapat makan, perasaannya tak sama. Rasa terpinggir. Eheh! Mungkin sebab itulah saya berazam mahu berpuasa penuh.


Bunga Api & Mercun

Apalah maknanya Ramadan tanpa kemeriahan bunga api dan mercun. Lagi-lagi sudah menghampiri Syawal, wajib keliling rumah di pasang pelita menjadi hiasan. Tahun 80-an kawan, jalan di Gombak masih boleh dikira lampu neon penerang jalan. Jadi bila pelita dinyalakan di keliling rumah dan seluruh kampung, ohoi, terang-benderang jadinya!

Bunga api dulu, sama saja seperti yang ada sekarang. Yang banyak asap tu lah. Walaupun menyesakkan, baunya memang khas beraromakan raya. Ataupun, bunga api batang besi dibungkus dengan kertas berwajahkan kucing hitam. Mercun lidi Thunderclap ada, mercun tarik, mercun ular, mercun gasing dan paling nostalgia, mercun das!

Tahu tak, kawan, saya ada sejarah buruk dengan mercun das tujuh warna ini? Sampai hari ni masih ada kesannya saya bawa ke hulu-hilir. Mungkin sampai mati. 

Satu malam entah bila, saya ketika itu masih kanak-kanak yang masih belum bersekolah. Tentulah malam itu malam Ramadan, kerana bunyi mercun meriah bersahut-sahutan. Abah memangku saya dalam pelukan dan kami duduk di halaman rumah memegang batang mercun das menghala ke atas.

Das!

Letupan pertama cantik menuju ke atas. Agaknya saya teruja lah waktu itu, melihat percikan api yang cantik di awangan.

Das! Das! Das! 

Mana tahu, letupan seterusnya menghala ke belakang bukan lagi ke langit. Saya yang di pangkuan abah, menjadi mangsa letupan yang tak disangka-sangka itu.

Kata mak, baju saya habis terbakar. Bulu mata hangus. Di leher bawah dagu dan bahu sebelah kanan habis melecur. Kesannya masih boleh dilihat sampai hari ni. Teruk. Mak kata saya tak menangis malam tu. Bukan sebab kuat, tapi sebab sakit yang amat. Entahlah. Tak ingat macam mana sakitnya, yang pasti sampai hari ki saya 'gerun' dengan apa saja yang meletup.

Haih!

Jaga-jaga, ya. Yang kita sangka tak merbahaya tu lah yang jadi bencana.

Puasa & Raya Dulu-dulu #2 | Bersahur, Berbuka Dan Mercun








Reactions

Post a Comment

0 Comments