Semalam dalam penerbangan balik dari Langkawi, Hafiz duduk di kerusi tengah. Tidak lagi berebut mahu kerusi tepi tingkap macam selalu. Mujur juga saya sudah kurus 200 milimeter, dapatlah menyelit sampai ke hujung.
Di sebelah kiri Hafiz, ada seorang Mat Saleh tinggi lampai.
Omputih.
Sebagai orang yang kurang ramah nak bertegur sapa, saya hanya lemparkan senyuman tanda mesra. Selepas itu, saya senyap memandang luar tingkap merakamkan gambar dan video. Sesekali, melayan Hafiz berbual.
Entah bila, rupanya Hafiz sudah berta'ruf dengan Mat Saleh di sebelah. Dia hulurkan gula-gula Skittles kepada beliau, tanpa saya suruh. Wah, itu membuatkan saya kagum. Berbudi bahasa. Dia yang memulakan komunikasi, berbanding abah yang diam seribu bahasa bagai meyorok gigi palsu longgar di dalam mulut.
Saya perasan, Hafiz lebih banyak mengikut perangai umi dalam hal hubungan kemanusiaan. Mulutnya lebih ramah, dan mudah bergaul mesra dengan orang baru. Campak saja di mana, sekejap saja mendapat kawan.
Abah? Kalau tak kena 'cap' sombong memang tak sah. Berat mulut.
Hafiz teringin benar berborak dengan mat saleh, tapi terbata-bata dek kekangan bahasa. Dia tak dapat membuat ayat lengkap, hanya menyebut sepatah dua perkataan yang dia tahu.
Lagi sekali saya kagum. Dia tak ada rasa segan, malah nampak yakin. Siap dia minta saya 'translate'kan, katakan pada mat saleh yang bahasa Inggerisnya masih belum cukup baik.
Berbunga-bunga hati saya mendengar permintaan Hafiz.
Ya, bahasa Inggeris memang bukan bahasa utama kami di rumah mahupun sekolah. Saya pun jarang speaking, lebih selesa berbahasa ibunda di rumah. Mungkin sudah sampai masanya saya selitkan juga dalam perbualan harian kami.
Hafiz setia mendengar abah berbual dengan mat saleh. Dari satu topik ke satu topik yang lain. Sebenarnya sudah beberapa kali saya beri 'hint' mahu hentikan perbualan, tapi beliau masih lagi mahu berbual sampailah tayar kapal terbang mencecah lantai KLIA! Jenuh.
Hafiz kekal memasang telinga. Ada satu topik, kami berbual tentang laptop. Kata mat saleh, laptopnya agak terkini, dengan spefikasi untuk bermain game. Hafiz teruja. Dia pun menyelit,
"I play game at my computer."
Pergh!
Tak disangka-sangka. Hafiz dapat membuat satu ayat penuh, pedulilah grammarnya betul atau tidak. Membina satu ayat penuh, apatah lagi berbual santai begitu, pada umur 10 tahun, jauh lebih baik daripada abahnya.
Kejutan demi kejutan, dalam penerbangan pendek 45 minit itu.
Tinggal kami saja sekarang yang mahu "mengasah" Hafiz, lebih daripada sebelumnya.
Mana tahu, dapat masuk MCKK.
Kah kah kah!
0 Comments