Media Sosial Yang Menjadi Candu Mengkhayalkan

Ada seorang pendengar radio bertanyakan, bagaimana mahu mengelakkan anak-anak daripada jatuh terjebak dan ketagih dengan dunia media sosial?

Saya teruja. Soalan ini seperti "remeh", tapi dekat di hati. Saya kira, ini bukan masalah anak-anak sahaja. Ini masalah umum, terutamanya diri saya sendiri.

Kata ustazah itu, carilah puncanya. Carilah akar masalah.

Lazimnya, dunia media sosial (bagi yang ketagih) adalah dunia peralihan dari dunia nyata. Mahu melarikan dari masalah, lalu melompat ke dunia maya yang banyak menaburkan perasaan indah. Walaupun, yang cantik itu hanya sementara. Dunia nyata sebenarnya membosankan, bagi mereka. Mereka rasakan di dunia nyata mereka tersisih, tidak ada nilai.

Like, Comment dan Share menjadi kayu ukur kegemilangan hidup.

Ustazah menyatakan, sampai satu tahap "reaction" ini kemudian menjadi penggalak kepada depresi.

Buat posting, tak ada "Like". Kecewa.

Buat hantaran gambar, tidak ada "Comment". Kecewa.

Setiap minit, telefon disemak jika ada notifikasi yang masuk. Tidak ada? Kecewa lagi.

Malah ada yang keterlaluan, sanggup mereka membuka akaun baru semata-mata untuk memberi komen kepada akaun yang pertama.

Allah.

Begitu ketagihnya kepada dunia media sosial, tanpa sedar sudah terjerumus ke dalam lubang yang memudaratkan diri.

Ulang ustazah, kembalilah kepada dunia nyata. Komunikasi yang benar, ada interaksi dua hala. Antara ibu bapa dan anak, wujudkan perbincangan. Kerapkan dengan "soalan", biar dua-dua pihak mengeluarkan suara.



Peringatan

Tertikam.

Rasa tertusuk dengan pisau yang tajam. Sejak semalam, saya sudah terkedu dengan masa yang saya luangkan di dunia media sosial. Tiga jam secara purata saya habiskan dalam sehari, bukanlah sekejap. Tiga jam, banyak perkara yang lebih bermanfaat yang boleh saya lakukan. Membaca, misalnya. Memperbaiki bacaan/hafazan, antaranya. Atau, menulis di blog mengasah akal.

Insaf.

Jika mahukan anak-anak tidak ketagih dan terus kecanduan, sayalah yang harus memulakan.

Insya-allah. Saya cuba.

Tiga jam sehari, untuk permulaan.

Perlahan-lahan, kurangkan lagi.

Tidak. Ini bukan menidakkan peranan media sosial. Tetap ada sisi-sisi positifnya, malahan banyak. Cuma ini, khusus kepada golongan yang ketagih, yang sudah tidak terkawal.

Kita fikir, kita tidak ketagih.

Ya, kita fikir begitu.

Tetapi benarkah begitu?







0 comments:

Post a Comment

My Instagram