Anak-anak Acuan Zaman Eve Atau Wall-E? Pilih.

Baru-baru ini, saya kembali ke UTM KL setelah sekian lama meninggalkan kampus ini. Masih bertujuan untuk mendapatkan ilmu, namun bukan untuk apa-apa sijil besar dalam bidang akademik.

Saya dan isteri ke sana untuk sesi taklimat anjuran sekolah tadika Hafiz. Tentang hal pendidikan peringkat rendah dan menengah.

Salah seorang panel jemputan hari itu adalah Puan Adlil Rajiah , penulis buku "3 Kertas, 3 Krayon, 3 Pensel Warna" dan "Why So Serious, Parents?". Saya pernah melihat buku beliau bergentayangan di FB, dan sesekali di rak-rak kedai buku. Saya tak tahu apa isinya, sehinggalah Puan Adlil berkongsi kisah hidup beliau kepada kami.

Mulanya begini (seperti yang saya ingat).

Puan Adlil sedang menghabiskan tesis PHD beliau untuk tahun akhir, dan dalam masa yang sama anaknya Haikal yang berusia 7 bulan juga memerlukan perhatian seorang ibu. Kekalutan antara menguruskan anak dan tuntutan tugas memang mendesak.

Entah bagaimana, Puan Adlil direzeki dengan hadiah sebuah iPad.

Mengambil langkah mudah, iPad disuakan kepada Haikal dan Puan Adlil pun berjaya menikmati waktunya sendiri tanpa "gangguan" Haikal.

Aduh.

Rasanya kita tahu apa yang terjadi selepas itu. Haikal menjadi ketagih kepada skrin dan perangainya juga berubah menjadi semakin baran (kalau tak silap saya). Keadaan semakin memburuk, dan selepas mendapatkan pemeriksaan pakar, Haikal didiagnosis pengidap pseudo-autism.

Allahu.

Hanya selama tiga bulan, Haikal "rosak" kerana iPad.



Tidak mahu keadaan semakin merosakkan, Puan Adlil kemudian mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan fokus sepenuhnya pada rawatan Haikal. Ada yang melihatnya itu tindakan emosional, meninggalkan tesis PHD yang sudah hampir ke penghujung. Tapi Puan Adlil nekad dan yakin, itu adalah rasional.

Semasa di sekolah pemulihan (pusat intervansi) di Pulau Pinang, Puan Adlil mendapat tahu masalah ketagihan ini bukan perkara main-main dan tidak patut dipandang mudah. Bilangan pengidapnya bukan kecil dan yang menyedihkan, kebanyakkannnya adalah kanak-kanak.

Salah seorang pesakit yang berumur empat tahun, tangan dan kakinya sudah membengkok dan ketagihannya teruk sekali. Langsung tak boleh ditunjukkan skrin telefon padanya. Sekali, Puan Adlil terlupa mahu menukar telefon kepada mod senyap dan tanpa disangka telefon beliau berdering. Habis kecoh apabila kanak-kanak itu mahu mendapatkan telefon beliau.

Allah.

Itu belum lagi yang mata sudah juling dan rosak. Kasihannya. Kanak-kanak sebegitu sudah menjadi rosak disebabkan teknologi yang tak dikawal penggunaannya.



Ingat filem Wall-E?

Kisah percintaan Eva dan Wall-E memang mengasyikkan, romantis bikin hati cair. Tapi nampak tak kita pada kehidupan manusia di dalam kapal itu? Gemuk gedempol macam guni beras, aktiviti fizikal hampir tidak ada dan bergantung sepenuhnya pada mesin dan teknologi. Rosak, dan tak menikmati hidup. Sedikit sebanyak, gambaran kehidupan sekarang tergambar di dalam filem Wall-E.

Nauzubillah.

Saya sedih juga apabila mengenangkan Hafiz pernah melalui fasa yang sama. Kami serahkan tablet kepada dia untuk "memudahkan" urusan. Makan, ada tablet. Main, tablet juga. Dan perangai dia semakin hari semakin pemarah dan tidak sabar. Mendesak. Mahu pantas. Gajet sentiasa di tangan.

Takutnya.

Kami nekad. Ini perlu ditamatkan. Sejak penghujung tahun 2017, kami hentikan serta merta kemewahan Hafiz. Tidak ada gajet lagi, biar dia menjadi kanak-kanak yang sewajarnya. Kanak-kanak yang menikmati zamannya dengan lebih banyak aktiviti fizikal.

Alhamdulillah. Sampai hari ini, Hafiz sudah bebas dari kongkongan gajet. Sesekali, terlepas juga tapi kami kawal seketatnya. Lagi-lagi kalau dia terlihat kawan-kawan sebaya yang seronok dengan gajet masing-masing, memang dia menyelit juga. Lega, bila dia langsung tak meminta untuk ada gajet juga. Bebas.

Bebasnya Hafiz sehingga beliau boleh pula mengeluarkan dialog "abah ni asyik main telefon je!".

Oppsss!

Abah sedang mencuba, sayang. Had tiga jam sehari pun kerap terbabas. Tapi Insya-allah, perlahan-lahan.

Begitulah, kawan.

Sama-samalah kita usahakan agar anak-anak kita tidak terjerumus dalam konflik sebegini. Kata kuncinya ialah kawal. Iya, memang ada sukarnya tapi itulah peranan kita sebagai ibu bapa. Pepatah Melayu yang wujud semenjak zaman dahulu, masih terguna pakai sehingga hari ini.

Berakit-rakit ke hulu
Berenang-renang ke tepian
Bersakit-sakit dahulu
Bersenang-senang kemudian

Jangan sudah terhantuk, baru nak tergadah.


_____
Sharulnizam Mohamed Yusof
Ketagih Ambil Gambar

#tulistulissharul





0 comments:

Post a Comment

My Instagram