Mentor With Min

"Masalah kita ni, nak kena ada pengesahan (endorsement) baru nak buat."

Saya tersengih. Macam kerang rebus. Kepala menjadi gatal-gatal tanpa sebab. Saya menegakkan badan di tempat duduk, lalu menghirup teh o limau ais yang masih berbaki. Sejuk, tapi ruang makan di Commoners Cafe yang tenang dan nyaman perlahan-lahan seperti membahang seiring dengan topik perbualan.

"Jalan je dulu. Buat. Masing-masing dah boleh buat, tapi nak jugak tunggu "sijil"."

Pedih. Bagai mata disemprot hirisan bawang Belanda.

Itu kata-kata daripada mentor fotografi saya yang sangat berpengalaman. Pagi Sabtu itu kami berlima berkumpul nun jauh di sebuah kafe di Shah Alam. Perbincangan santai hampir tiga jam yang banyak membuka dan mengetuk fikir.

Saya, Farizah dan Husna (yang hadir hari itu) menjadi anak didik Min Mohd dan suaminya, Azlan. Kami belajar hal-hal fotografi, hal-hal "penceritaan gambar" juga  teknikal. Dan bagaimana mahu melangkah lebih kukuh, selepas sudah sekian lama bertatih.

Takut

Asalnya saya suarakan apa yang terpendam.

Ada beberapa orang rakan mahukan saya mengambil gambar mereka sekeluarga dalam beberapa acara. Sudah tentu, saya teruja dan sedikit sebanyak terasa hasil kerja saya dinilai dan diterima baik. Maknanya, hobi saya mengambil gambar ini tidaklah "sia-sia". Sudah boleh "dijual".

Tapi.

Apabila soalan "boleh ke tak" diutarakan oleh rakan, rasa teruja itu terus cair hanyut ke longkang. Saya tidak yakin. Saya jadi takut. Risau, apa yang diharapkan oleh "bakal pelanggan" saya, tak menjadi kenyataan. Apatah lagi kalau berbayar, takut betul apa yang dibayar tak setimpal dengan hasil.

Takut saya juga berpunca tiada "sijil". Tidak ada pengesahan daripada pihak yang lebih berautoriti. Seperti kata Min tadi.

Sudahnya, saya tolak.

Banyak kali.

Haih!

Anak murid bersama Min MohdMin Mohd dan suami, Azlan

Zine

Itulah yang menjadi butir bicara kami pagi itu. Min tahu, ini masalah yang sangat biasa. Dan untuk cuba mengatasi "masalah yang dicipta sendiri" ini, Min cadangkan kami membuat zine.
  1. Pilih satu topik.
  2. Ambil gambar yang bersesuaian.
  3. Letakkan cerita, kapsyen atau apa saja yang bersesuaian dengan gambar.
  4. Cetak.
  5. Edarkan kepada orang ramai (percuma), secara bertentang mata.

Melihat hasil kerja yang dicetak, itu SANGAT berbeza dengan melihatnya di skrin komputer atau telefon. Zine, akan menimbulkan rasa teruja dan kreatif diri. Dan apabila berhadapan dengan awam, penerimaan mereka akan menjadi pendorong. Ditolak? Itu jadikan sebagai penguat semangat!

Saya akur dan setuju.

Projek Zine ini, akan saya jadikan kenyataan.

#ceritahafiz

Insya-allah.





Reactions

Post a Comment

0 Comments