Inspirasi Untuk Melancong



Saya tertanya-tanya juga, faktor apa mempengaruhi kita dalam membuat pilihan destinasi kembara? Sebab makanannya, sebab budayanya, sebab kecantikan alam (dan manusia) nya kah? Atau itu semua menjadi hal kedua, sebab tiket kapal terbang sudah dibeli terlebih dahulu kerana tawaran harga yang murah.

Sebenarnya saya yakin tak ada sebab yang spesifik dan kekal begitu saja selamanya. Selera pasti berubah-ubah mengikut peredaran masa.

Cuma bila saya melihat sendiri senarai destinasi yang pernah dan yang mahu saya kunjungi, ada satu faktor utama yang kuat mempengaruhi.

Televisyen.

Benar. Sama ada tayangan filem, iklan sehinggalah pada klip video seruan azan. Ada tayangan yang benar-benar membuat saya sangat teringin ke sana, dan dalam diam saya menyimpan hasrat untuk menjejak kaki satu hari nanti.

Tak salah menyimpan angan-angan, tahu-tahu sudah menjadi kenyataan.

Saya ada lima destinasi (sebahagian daripada senarai panjang) yang saya sudah lawati berpunca daripada siaran di televisyen.

1) The Sound Of Music
2) Laskar Pelangi
3) Bobby
4) Siaran azan NTV7
5) Lagu Sabah

Baik. Saya ceritakan kenapa.

1) Laskar Pelangi



Entah bila, saya menonton filem Laskar Pelangi di saluran Astro. Ceritanya lain daripada yang lain. Hal-hal kehidupan yang lebih besar dari kisah cinta antara dua jantina. Saya terpikat dengan kisah Ikal, Lintang, Mahar, Ibu Mus, Pak Harfan dan manusia-manusia hebat Sekolah Muhammadiah.

Saya lanjutkan dengan membaca Sang Pemimpi, Edensor dan Maryamah Karpov. Hoi! Kenapa wujud cerita yang sebegini hebat dan saya tidak tahu?

Dan dalam FB, saya dan beberapa orang rakan yang turut mendapat penyakit gila nombor 23; iaitu penyakit angau mahu ke Belitong bumi kelahiran Laskar Pelangi, mula berpakat-pakat.

Darah muda, darahnya berapi-api!

Mei 2013, kami sampai ke Belitong, Indonesia. Kami ke pantai Tanjung Tinggi, kami ke Gantong, kami ke kota seribu warung kopi Manggar, dan kami mendapat hadiah paling agung iaitu bertentangan mata bersama Ibu Mus yang sebenar.

Terbaik, boi!

2) India



Bobby (Filem Hindustan).

Di kalangan sahabat dan keluarga, rata-rata tahu saya pada satu ketika adalah "hantu" filem hindustan. Zaman belajar di Sintok, entah berapa banyak koleksi VCD hindustan yang saya beli dari City Plaza, Alor Setar.

Kenapa saya suka filem hindustan?

Lagunya yang mendayu dan puitis. Jadi khayal dengan bait-bait lagunya yang sangat kreatif dalam menyampaikan maksud, sama seperti pantun Melayu kita. Kemudian, pemandangan bumi India yang sangat memukau, terutamanya pemandangan alam semulajadi. Aduhai! Semasa Bobby menyanyi bersama Raj lagu yang bertajuk "Aku dan Kau Terkunci Dalam Bilik dan Kunci Hilang" di sebuah kawasan pergunungan, saya khayal. Entah di mana lokasinya, saya hanya tahu ianya di India.

Zaman internet, saya "geledah" India. Aduh! Bangunan-bangunan bersejarah (dan cerita di sebaliknya) membuatkan India termasuk dalam angan-angan kembara saya.

2012, kaki saya menjejak laman Taj Mahal. Dan yang paling mengasyikkan, saya ke sana bersama "Mumtaz Mahal" saya sendiri.

Acca!

Walaupun kini filem hindustan sudah bukan menjadi tontonan saya (kerana "menyeramkan"), tapi ada satu sudut kecil di hati saya yang tetap menyimpan rasa rindu mahu kembali ke sana.

Mudah-mudahan.

3) Salzburg, Austria



The Sound Of Music

Rasanya hampir semua orang tahu cerita ini. Atau setidak-tidaknya, bagi mereka yang seusia saya. Filem ini diterbitkan pada tahun 1965, dan saya tak pasti tahun bila filem ini ditayangkan di Malaysia. Saya pasti, ianya antara tahun 80-an dan 90-an.

Ada apa dalam filem ini?

Segalanya!

Saya sukakan lagu-lagunya. Saya sukakan ceritanya. Saya sukakan pemandangan atas gunung yang luas tempat mereka bernyanyi, padang rumput yang menghijau, kota warisan yang cantik tersusun dan rumah agam yang memukau.

Itu, menjadi idaman saya dan tak pernah lupus dalam ingatan. Hanya setelah internet wujud, barulah saya tahu lokasi penggambaran filem ini ialah di negara Eropah.

Di Salzburg, Austria.

Saya sentiasa menyebut-nyebut Austria sebagai negara idaman saya sekiranya berpeluang untuk melancong. Mei Jyn dan Ervinna tahu sangat akan perkara ini.

Tapi itulah. Siapa tahu angan-angan bisa menjadi kenyataan. Oktober 2017, setelah 52 tahun filem ini ditayangkan saya akhirnya diberi peluang menyaksikan dengan mata sendiri kota Salzburg yang sentiasa dalam idaman.

Ya Tuhan, berdebar benar rasa hati kala menuju Mirabell Garden, tempat Sister Maria dan tujuh orang anak-anak Kapten Georg von Trapp menyanyikan lagu utama filem ini, Do-Re-Mi.

Perasaannya?

Sukar saya mahu katakan. Lokasi itu biasa-biasa saja. Tidak ada apa-apa yang unik dan menarik bagi orang kebanyakkannya. Tetapi, saya sangat teruja dan terharu, kerana tempat ini membawa memori. Mirabell Garden seperti saksi pencapaian agung dalam hidup saya, seorang anak kecil yang menyimpan angan-angan yang hampir mustahil, akhirnya tertunai walaupun setelah usia sudah berkali ganda.

Allah Maha Besar.

Alhamdulillah.

Terima kasih rakan-rakan HART yang turut diseret sama melayan perasaan seorang lelaki beruban putih ini.

4) Masjid Ulul Albab, Jertih, Terengganu



Siaran azan NTV7.

Entah bila, siaran azan di televisyen memaparkan suasana sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu. Dan mengekalkan reka bentuk seni bina Melayu tradisional. Saya, selaku penggemar Irama Malaysia, sangat mudah terpikat dengan apa-apa saja yang menonjolkan khazanah dan budaya bangsa.

Kemudiannya saya baru tahu, masjid itu ialah Masjid Ulul Albab, terletak di Jertih, Terengganu. Jadi, dalam kesempatan perjalanan panjang dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu saya singgah ke masjid ini.

Cantik. Dan agung. Hebat betul hasil tukangan tradisi.

Dan nasi dagang yang dijual di tepi masjid ini juga sedap. Amat sedap!

5) Bangunan Yayasan Sabah, Kota Kinabalu



Lagu Sabah.

"... Rakyat Sabah bergandingan tangan
Menyambut kehadiranmu
Ke negeri Di Bawah Bayu..."

Ingat?

Lagu ini selalu disiarkan di televisyen sekitar tahun 1980-an. Saya rakyat Selangor pun sampai hafal lirik lagu ini.

Saya ingat, dalam klip lagu ini di penghujungnya semua berkumpul di sebuah bangunan yang gah berdiri berwarna biru.

Yayasan Sabah.

Percaya atau tidak, ketika saya merancang itinerari ke Sabah tahun 2016 yang lepas, bangunan Yayasan Sabah ini juga saya masukkan ke dalam agenda. Hahaha! Tak ada apa yang menarik pun sebenarnya, tapi sama seperti di Salzburg, Austria; lokasi ini membangkitkan memori dan menandakan satu pencapaian, atau mungkin kepuasan peribadi. Pelik itu, mungkin. Tapi itulah yang terjadi, dan mungkin saja berulang di tempat lain.

Terus Berangan-angan

Kawan-kawan.

Jangan "kedekut" untuk berangan-angan. Percuma saja. Tak siapa tahu sama ada ia kekal begitu, atau satu hari nanti menjadi kenyataan.

Insya-allah.

 


#julyblogposts #july2019entries

Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.








Reactions

Post a Comment

0 Comments