Nama

Perkhabaran bahawa kekasih hati saya sudah ada janin di rahimnya menjadikan saya insan yang paling bahagia hari itu.

Saya bakal menjadi ayah!

Alhamdulillah.

Isteri saya disahkan mengandung hanya beberapa bulan selepas pernikahan kami berlangsung. Bunting pelamin, orang kata.

Amboi!

Tersipu-sipu kami berdua dibuatnya ketika menyampaikan berita baik ini kepada saudara-mara. Yang menyambut baik, ramai. Yang bergurau menyebut kuat-kuat buat satu kampung terdengar perkataan "bunting pelamin" itupun, ada juga.

Haih!

Tak tahu saya bagaimana mahu menafsirkan. Sama ada itu satu ekpresi meraikan kegembiraan kami atau cara halus mahu mengatakan kami ini gelojoh. Kah kah kah! Memang naik segan. Tapi pedulilah, yang penting rumah tangga kami bakal berseri dengan kehadiran si comel penyambung keturunan.


Pelindung

Sembilan bulan 10 hari berlalu.

Walaupun ada ujian-ujian kecil yang dihadapi, Alhamdulillah, tanggal 10 Mac 2003 kami dikurniakan seorang anak yang kekal menjadi cinta hati kami yang pertama, selamanya.

Allah.

Alhamdulillah. Terima kasih atas belas ihsan-Mu.

Bayi lelaki seberat 3.5 kilogram itu saya dukung rapat ke dada, salam diberikan dengan senyuman paling manis oleh seorang lelaki 26 tahun yang sudah dinaikkan pangkat menjadi ayah. Kucupan terima kasih yang tidak terbalas hinggap di dahi kekasih hati yang masih terlantar selepas kelelahan melahirkan.

Saya melangkah perlahan ke sudut bilik bersalin di tingkat dua Pusat Perubatan Ibukota yang redup. Saya azankan telinga si kecil perlahan-lahan, diselang dengan esakan kegembiraan seorang ayah yang cengeng.



Muhammad Haris.

Membawa maksud Pelindung Yang Terpuji.

Kami sepakat memberi nama ini kerana kami faham setiap nama itu adalah DOA. Kami mahukan si kecil ini, pada satu waktu nanti gah menjadi pelindung keluarga, pelindung agama, pelindung negara dan pelindung segala kebaikan, dengan penuh sifat yang terpuji.

Itu harapan abah dan ummi, abang.

Setiap kali abang kalamkan nama ini di atas kertas, ingatlah maksudnya. Ingatlah harapan abah dan ummi yang masih tidak putus mendoakan kesejahteraan abang dan adik-adik di dunia dan akhirat.

Semoga baik-baik sahaja, wahai sang pelindung yang terpuji.


#julyblogposts #july2019entries

Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.








0 comments:

Post a Comment

My Instagram