Saya menatal skrin telefon, membaca dan menonton berita ngeri lagi memilukan — tragedi sebuah bas yang sarat dengan penumpang terlibat dalam kemalangan maut di Gerik, Perak.
Bukan sedikit yang terkorban, setakat catatan ini ditulis 15 jasad sudah tidak lagi bernyawa. Dada saya sesak. Sebak. Air mata bertakung tertahan dari jatuh. Melihat tahun kelahiran mangsa, Allah, sebaya anak-anak saya belaka.
Jeda.

Berita seperti ini bukan lagi sekadar statistik. Ia bukan hanya "satu lagi kemalangan", atau "ini kisah keluarga orang lain".
Kerana saya juga ada anak-anak, yang hari ini masih lagi saya dapat melihat dan mendengar suara mereka. Segera saya teringatkan kesayangan saya yang berdua. Abang Haris, kakak Hanim, kedua-duanya jauh dari rumah. Seorang di Pahang, seorang lagi nun jauh di seberang laut di Kota Kinabalu. Kedua-duanya dalam 'perjalanan'. Dalam pencarian makna hidup mereka sendiri. Hanis dan Hafiz, ada di depan mata untuk saya peluk dan kucup.
Subhanallah.
Namun, pada satu sudut di hati, saya cuba membayangkan, bagaimana perasaan seorang ibu, seorang ayah, yang menerima panggilan menyeksa jiwa itu. Bagaimana sebuah harapan yang indah, bertukar jadi kehilangan kekal — hanya dalam tempoh sebentar cuma.
Bagaimana dunia sehari-hari yang membahagikan, tiba-tiba berubah selamanya.
Kelu.
Berpisah dengan anak-anak, bukan mudah. Baik pada mak abah, baik pada anak-anak itu sendiri. Tapi kehidupan ada kehendaknya sendiri. Anak-anak kita merantau demi menuntut ilmu. Mereka bermandiri. Mereka naik bas. Naik kapal terbang. Naik ETS. Naik motor. Keperluan.
Hanya doa yang mampu mengiringi. Kerana kita tahu, kita tak mampu mengawal segalanya. Kita ada qada dan qadar. Kita akur.
Namun ketika saya membaca berita sebegini, hati saya seolah-olah berhenti seketika. Segera saya gapai telefon bimbit di sisi. Saya hubungi anak saya, lewat Whatsapp.
Saya tanya, "Dah makan?"
Tapi yang saya nak tahu sebenarnya — "Kamu selamat tak hari ini?"
Kawan.
Saya menulis ini bukan sekadar untuk bersedih-sedih. Tapi kadang-kadang, kita perlu duduk sekejap dan memaknai rasa.
Rasa takut.
Rasa sayang.
Rasa bersyukur.
Buat keluarga mangsa, saya hanya mampu mendoakan agar kalian diberi kekuatan. Saya tak kenal kalian, tapi saya mungkin kenal tentang rasa kehilangan.
Semoga ada sinar di sebalik duka. Insya-Allah.
Dan buat kita yang masih diberi peluang memeluk anak-anak — jangan tunggu esok untuk berkata
"Ayah sayang kamu."
"Ibu rindu kamu."
"Hati-hati ya, nak."
Buat hari ini.
Sekarang.
0 Comments