Orang Rajin Orang Yang Menang

Seharusnya begitulah. Orang rajin orang yang menang, tak tersangkal lagi. Tapi, bagaimana pula menafsirkan "menang" itu? Adakah hadiah atau keuntungan yang diperoleh pada penghujungnya? Itu, boleh jadi juga.

Entahlah.

Terpulang bagaimana kita mahu menafsirkan menang.

Saya teringat pula kisah mak (bonda) saya yang satu ketika mahu keluar dari belenggu kehidupan sebagai suri rumah. Anak-anak sudah dewasa dan ada yang sudah bekerja, tidak banyak lagi yang boleh dibuat di rumah selain masak, mengemas dan sebagainya.

Jadi, mak mohon izin abah (ayahanda) untuk bekerja.



Mak kemudian bekerja di kilang membuat dinding kapur. Dinding hiasan untuk rumah orang ada-ada. Kadang-kadang, mak bawa ke rumah (dengan izin) yang mana buatannya rosak. Khayal pula kami anak-beranak cuba mewarna-warna plat dinding kapur sebesar jubin lantai itu. Kebanyakkannya bercorakkan bunga.

Tak lama selepas itu, mak dan adiknya bekerja pula di kedai dobi. Sekejap saja, sebab mak tak tahan menghadap panas seterika yang membahang seharian.

Akhir sekali, mak menjadi ejen jualan Syarikat Menang. Yang ini memang lama. Pelanggan mak di kalangan adik-beradik, saudara-mara dan jiran-jiran. Saya kadang-kadang ditugaskan untuk menghantar barang atau memanggil makcik-makcik yang memesan barang datang ke rumah. Sambil-sambil mak serahkan barang pesanan, mak selitkan juga katalog baru.

Kah kah kah!

Mak senang hati.

Dari kebosanan yang sepi, mak berusaha menambah pencarian keluarga dengan cara mak tersendiri.

Orang rajin orang yang menang!


Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#julyblogposts #july2019entries

Topik hari #28 : MENANG






0 comments:

Post a Comment

My Instagram