Surat Dari Edinburgh

Tahun-tahun 1990-an adalah tahun kegemilangan saya menulis surat. Semuanya bermula ketika saya mula belajar di sekolah berasrama penuh di selatan tanah air untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat dan lima.

Dua tahun di situ, saya sering berutus surat dengan keluarga dan rakan-rakan sekolah lama. Surat yang tertulis di atas kertas kajang berhelai-helai, kad hari lahir dan paling agung, kad hari raya; memang tak pernah dijangka akan saya lakukan. Bukan main-main, boi.

Dua tahun di situ juga, saya mula melebarkan jaringan persahabatan. Rakan-rakan dari seluruh pelusuk Malaysia sudah didaftar masuk ke dalam senarai silaturrahim. Ada 400 lebih anak muda dalam batch kami, tapi hanya segelintir yang benar-benar rapat dengan saya.

Salah seorangnya, Tang Tong Boon.

Bersama PM Dr Tang Tong Boon

Saya jadi teruja kerana dapat bersahabat dengan orang bukan Melayu. Teruja yang amat sangat, mengatasi perasaan gembira dapat bersahabat dengan orang sebangsa yang berasal dari luar Gombak. Orang Kelantan ke, Pulau Pinang ke, mana nak sama dengan kawan orang Cina.

Ya.

Saya datang dari sekolah kebangsaan yang majoritinya berbangsa Melayu. Orang Asli, Cina dan India ada, tapi bukan dari kelas dan aliran yang sama. Orang yang introvert seperti saya, manalah pandai nak bersosial. Bersahabat hanya dengan mereka yang sama sekelas sahaja.

Tetapi itu berubah ketika di asrama.

Jiran saya di sebelah kanan bilik asrama, namanya Tang Tong Boon.

Di sebelah kiri, Oscar Lee.

Saya rapat dengan kedua-duanya, tetapi lebih akrab dengan Tang.

Selepas tamat Tingkatan Lima, kami berpisah.

Tang mengikuti kelas persediaan untuk ke luar negara di Cheras. Saya pula berkursus bahasa Inggeris di Kuantan selama tiga bulan.

Sesekali, kami berjumpa di Kuala Lumpur. Ada berutus surat juga. Telefon pun. Lawak betul kalau dikenang.  Siapa sangka, kami pernah ke Coliseum Jalan TAR menonton filem Ringgit Kasorga bersama beberapa orang sa. Zaman tanpa kegilaan media sosial, kami memang betul-betul bersosial (yang skema).
Kah kah kah!

Ada ketika kami sama-sama bercuti dari kelas, Tang bertandang dan bermalam di rumah saya.

Lama-lama sudah tidak ada lagi persahabatan "melayu cina", hanya tinggal perkataan "sahabat".

Edinburgh & Kuala Nerang

Sampai waktunya saya ke Kuala Nerang untuk matrikulasi sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah muda di Universiti Utara Malaysia, Kedah. Tang pula terbang ke University of Edinburgh, di Scotland.

Dan kami kembali berutus surat.

Bayangkan, ketika saya jauh di ceruk Kuala Nerang yang tersorok, yang dikelilingi hutan pokok getah dan kampung-kampung kecil, sehelai demi sehelai surat dari luar negara datang mengisi kotak surat di pejabat kolej.

Surat yang berstem dan bercopkan Edinburgh.

Sudah tentu, saya seronok sekali.

Membaca tulisan tangan Tang yang rencong ke kanan, membuat saya cemburu tapi dalam masa yang sama tetap gembira. Tang bercerita tentang universiti, tentang musim yang silih berganti dan sudah tentu, tentang pencapaian akademik. Kami saling bertukar nasihat dan cerita untuk sekian waktu.

Poskad dari Edinburgh Surat dari Edinburgh

Cuma sayang.

Saya tak pernah membalas surat Tang ke Edinburgh. Entah di mana puncanya, saya takut untuk membalas. Tang menulis surat kepada saya menggunakan bahasa Inggeris. Saya kekok berbahasa antarabangsa itu. Membaca, saya faham. Bercakap, saya kelu. Menulis pula, saya hilang punca.

Sudahnya, saya hanya menunggu jika dia pulang ke tanah air untuk bertukar cerita kembali.

Selepas zaman menulis surat semakin terpinggir, kami beralih ke teknologi surat elektrik.

Emel.

Tang menggunakan alamat emel dia di universiti, saya pula memilih untuk menggunakan emal akaun Yahoo!.

Dari emel, beralih pula kepada Yahoo! Messenger.

Dan apabila teknologi semakin berkembang, kami beralih pula pada Whatsapp sehingga hari ini.

Ah!

Teknologi memang bagus, tapi sentuhan peribadinya sudah hampir hilang.

Dan saya pula, gagal menyimpan surat-surat daripada Tang. Hanya dua keping sahaja yang masih ada terselit di dalam album gambar; satu surat dan satu poskad. Rugi! Bukan surat daripada sahabat saya yang berasal dari Kluang ini sahaja, malahan surat-surat rakan yang lain pun entah hilang ke mana.

Memang rugi!


#julyblogposts #july2019entries

Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.










0 comments:

Post a Comment

My Instagram