Pada Suatu Hari Yang Menghibakan Chemong

Pada suatu hari yang indah, saya dan puteri ketiga saya Hanis sedang berehat santai di ruang tamu sementara yang lain bertebaran di dalam rumah. Hari masih pagi, dan hari itu adalah hujung minggu. Kami enam beranak berehat-rehat sahaja, tidak ke mana-mana.

Tiba-tiba.

Tiba-tiba, sayup-sayup kedengaran bunyi mengiau anak kucing dari luar rumah. Saya dan Hanis, saling berpandangan. Ada gelombang komunikasi yang berlangsung di udara, kami berdua bersetuju untuk mencari makhluk kecil itu.

Pantas, kami terus mengenalpasti dari mana arah punca suara. Kami menuju ke longkang di belakang rumah dan ternyata, suara halus itu datang dari situ. Saya segera mengintai ke dalam longkang, dan kelihatan sepasang mata bulat yang terlindung di balik daun-daun.

Anak kucing yang ketakutan.

Saya yakin, ini anaknya si Chemong, kucing liar yang selalu ke rumah kami meminta makan. Sudah jarang Chemong datang, kali terakhir perutnya memboyot bunting entah berapa ekor nyawa. Setiap kali selesai makan, Chemong akan segera mendaki tebing tinggi di belakang rumah kami. Mungkin, di situlah Chemong tinggal dan kini, sudah berkeluarga.

"Eeeee... comelnya, bah!"

Hanis menjerit teruja. Seekor anak kucing yang gebu saya angkat keluar dari longkang. Matanya hijau, bulunya kembang. Perutnya boyot gedempol.

Comel sangat!

Kami berenam mengerumuni anak Chemong yang gebu. Dia ketakutan, kami keterujaan. Setelah bermesyuarat kecil, kami mengambil keputusan untuk memelihara anak Chemong.

Kami peluk si anak bulu-bulu itu dalam tuala yang kering, agar kurang rasa takutnya. Sambil mengusap lembut, kami pun membawa kucing kecil itu ke dalam rumah.

Tanpa kami sedar, ada yang melihat dari jauh.

Pada Suatu Hari Yang Menghibakan Chemong

Chemong tak berkelip mata memerhatikan semuanya.

Rancangan Chemong, berhasil.

Memang sengaja ditolaknya anak kecil itu pagi tadi ke dalam longkang, kala penghuni rumah pembekal makanannya sudah bangkit dari tidur. Anak Chemong yang satu itu, jatuh berguling dari tebing, namun tidak mengalami apa-apa kecederaan. Chemong sudah mengagak dengan baik. Daun-daun kering yang tersumbat di longkang menyambut lembut anaknya yang terjatuh itu.

Air mata Chemong meleleh.

Perpisahan ini bukan kemahuannya, namun terpaksa dilakukan untuk kelangsungan hidup. Anaknya yang berempat itu semakin menginjak dewasa, Chemong tak mampu menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Bapa anak-anaknya?

Dasar jantan tak guna. Habis madu sepah dibuang. Sekarang sudah menggila dengan betina lain.

Chemong tak mahu memikirkan hal jantan itu lagi.

Yang penting, anak-anaknya mendapat kehidupan yang baik.

Chemong mengintip dari tingkap rumah, melihat anak bongsunya buat kali terakhir.

Chemong tahu, anaknya bakal disayangi oleh manusia yang berenam itu.

Sebelum Chemong melangkah pergi, terdengar sorakan kuat daripada lelaki yang paling dewasa dalam kumpulan itu.

"Okay, kita namakan anak kucing yang paling comel di dunia ini, TAMBI!"

"Selamat datang, Tambi."

"Yeay!"

...

...

"Selamat tinggal, Tambi."





Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Ogos yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#augustblogpostchallenge #augustwritingprompts #tulistulissharul

Penulisan Kreatif #2 : Mulakan kisah dengan “Pada suatu hari…”






0 comments:

Post a Comment

My Instagram