Tuntutlah Ilmu Sehingga Ke Liang Lahad

Satu ketika, saya sangat bersemangat mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya, PhD. Kenapa? Kerana saya bercita-cita mahu menjadi seorang pensyarah. Itu idaman saya sejak sekian lama.

Semangat itu kemudiannya memudar, hilang tak dapat dikesan.

Satu hari, saya bermuhasabah diri. Kenapa tidak ada lagi minat melanjutkan pelajaran ini membara seperti dulu?

Kerana niat saya salah, itulah yang boleh saya simpulkan. Saya mahu PhD kerana mahu menjadi pensyarah.

Kenapa saya katakan salah?

Benar, untuk menjadi pensyarah PhD itu juga satu keperluan, namun saya tidak yakin ilmu yang saya tuntut itu ada faedahnya kepada saya. Sama seperti belajar menghafal fakta sejarah, semata-mata untuk lulus peperiksaan. Kemudian, apa?

Ilmu itu, tidak diperah sewajarnya. Tidak ada pati yang saya peroleh, melainkan permukaan sahaja. Saya mempersia-siakan ilmu, kerana tidak ada kesannya kepada akal, hati dan jiwa. Ilmu itu hanya berbekas pada kepingan kertas, tidak memberi manfaat besar kepada diri.

Itulah yang saya lihat kepada "kegagalan" niat saya melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD. Bukan kerana ghairah pada ilmu, sebaliknya cuma menjadi loncatan mengejar jawatan.

Lalu, saya beralih kepada ilmu-ilmu yang lain. Kerana saya masih mahu menambah pengetahuan, tapi dengan niat dan manfaat yang betul.

Gambar bersama keluarga tersayang selepas konvo peringkat Sarjana di UTM Skudai tahun 2007

Untuk tahun 2019, saya bertatih semula belajar perkara-perkara yang saya suka dan bukan untuk mencari faedah material semata-mata.

Saya gemar menulis, lalu saya hadiri kelas-kelas menulis yang dianjurkan di sana-sini.

Saya suka mengambil gambar, saya daftar pula kelas daripada mereka yang pakar.

Saya juga suka mengambil video, perlahan-lahan saya berguru di Youtube.

Kadang-kadang, ada juga kemahiran baru yang terjangka seperti kelas membuat travel journal oleh rakan-rakan blogger tempoh hari.

Travel?

Itu kegilaan saya yang semakin memuncak. Lalu saya menyertai kumpulan yang fokus kepada bidang ini dan belajar daripada mereka yang berpengalaman.

Terbaru, saya mula memahamkan peranan content dalam dunia digital. Bagaimana mahu menganalisa, bagaimana mahu membuat pemasaran dengan teknik yang betul (contohnya, SEO) dan pelbagai lagi.

Semua ini, sangat berkait antara satu sama lain.

Mana tahu, kombinasi kemahiran ini membolehkan saya membangunkan satu bakat dalam diri dan boleh diperkembangkan secara bermanfaat.

Ilmu itu sangat luas, jadi pilih saja mana yang kita suka.

Tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahad.



Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Ogos yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#augustblogpostchallenge #augustwritingprompts #tulistulissharul

Wordprompt #11 : Apakah kemahiran yang anda mahu belajar tahun ini?






0 comments:

Post a Comment

My Instagram