Ulasan Filem Pad Man (2018)

#1
Semalam sambil berehat-rehat hujung minggu, saya dan kekasih hati menonton Pad Man (lakonan Akshay Kumar), sebuah filem Hindi yang ada di saluran Netflix. Melalui Facebook, saya dapat tahu cerita ini berdasarkan kisah benar yang terjadi di India.


#2
Filem begini (yang merujuk pada kisah benar) memang menjadi pilihan tontonan saya tanpa mengira jenis bahasa. Ala-ala Laskar Pelangi, Sang Pencerah, Dangal, Sanju dan seumpama.


#3
Jalan ceritanya "mudah". Kisah seorang suami yang mahu isterinya menjalani kehidupan yang bersih dan selamat, lalu dia berinovasi menghasilkan produk untuk wanita yang mampu dibeli oleh masyarakat setempat yang rata-ratanya kurang berkemampuan. Pad, atau tuala wanita.

Pad Man 2018


#4
Sudah tentu, hal sebegini menjadi taboo untuk dibincangkan secara terbuka dalam masyarakat yang masih berpegang kuat pada "kongkongan" adat dan adab. Ianya suatu yang sangat bersifat peribadi. Kita di Malaysia ini juga pada suatu ketika, kalau membeli produk ini di kedai pasti akan dibungkus dengan suratkhabar terlebih dahulu, agar tak ternampak pada orang lain.


#5
Dinyatakan di India, purata kaum perempuan yang menggunakan tuala wanita semasa datang bulan hanyalah 12% daripada jumlah populasi yang besar. Mereka menggunakan gaya tradisional (alasan sebenarnya lebih murah berbanding menggunakan pad yang mahal) namun berisiko tinggi memudaratkan kesihatan.


#6
Atas kesedaran itu (daripada seorang suami?), Pad Man mempelajari dan mencipta produk tuala wanitanya melalui pemerhatian dan kajian sendiri. Sudah tentu, ada tentangan dan halangan (rujuk perkara #4) termasuk daripada keluarga beliau sendiri.


#7
Arunachalam Muruganantham (nama sebenar Pad Man) dari Tamil Nadu ini terus gigih memekakkan telinga pada setiap tentangan dan  beliau kemudiannya berjaya membuktikan kesungguhan dan matlamat yang baik pasti membuahkan hasil.

The Real Pad Man (Sumber gambar; https://logpledge.org)


#8
Pad Man akhirnya berjaya mencipta mesin untuk menghasilkan tuala wanita yang berharga kurang daripada sepertiga harga pad di pasaran.


#9
Hasil ciptaan ini sudah tentu membawa kebaikan yang sangat besar. Masyarakat (perempuan) sudah mampu mendapatkan produk ini (kerana harga yang murah), taraf kesihatan menjadi semakin membaik, dan penciptaan mesin ini juga akhirnya mewujudkan peluang pekerjaan. Ini semua berlaku berpunca daripada seorang lelaki yang mahukan yang terbaik untuk isteri kesayangan. Cantik, sangat cantik. Matlamat yang baik, niat yang baik dan pengakhirannya juga sangat baik.


#10
Kini, mesin mini tuala wanita ciptaan Pad Man telah merebak penggunaannya ke 26 (daripada 29) negeri di India. Pada tahun 2014, Muruganantham juga telah direkodkan sebagai antara 100 manusia yang berpengaruh di dunia oleh Time Magazine. Manakala pada tahun 2016, beliau dianugerahkan dengan darjah Padma Shri (anugerah keempat tertinggi untuk orang awam) oleh kerajaan India.


Mantul!

Saya puas hati menonton filem sebegini. Kisah kehidupan yang menginspirasikan. Sudah tentu, antara fakta yang ada ia turut disulam dengan fiksyen untuk menjadikan filem ini boleh "dijual". Pandai-pandailah menapis sendiri.

Dan saya juga melihat sudah semakin kerap hero-hero Hindustan (tahun 1990 - awal 2000) yang sudah beralih ke arah filem yang menyentuh hal-hal kemasyarakatan yang lebih real. Amir Khan paling top di atas senarai, kemudian sesekali Salman Khan dan kini sudah ada Akshay Kumar dan Hrithik Roshan (Super 30).

Dalam My List Netflix saya, sudah ada filem Toilet (pun berdasarkan kisah realiti masyarakat India).



Tak zabar!







0 comments:

Post a Comment

My Instagram