Sebelum ke Cameron Highland baru-baru ini, aku ada buat sedikit kaji selidik.
Amboi perkataannya! Kaji selidik. :)
Ye lah. Perlu disenaraikan lokasi lawatan sepanjang dua hari ke sana, senang untuk disusun jadual lawatan. Yang mana perlu singgah dahulu, yang mana perlu dikemudiankan. Dan hasil kaji selidik yang dibuat, Cameron Lavender Garden terletak paling atas dalam senarai kami. Hasil rekomendasi rakan-rakan juga. Tempat ini agak baru.
Cameron Lavender Garden
Kami sampai di Tringkap hampir jam 12 tengah hari. Hujan juga turun agak lebat. Risau juga, sebab ada pendekar kecil turut serta dalam percutian kali ini. Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan. Kami sampai di kawasan letak kereta, sudah ada kekosongan satu lot. Pendekar kecil tak perlu meredah hujan lama-lama.Untuk memasuki ke taman (taman; terjemahan secara literal perkataan garden) ini, sedikit bayaran dikenakan.
RM 5 untuk dewasa.
RM 3 untuk kanak-kanak (7-12 tahun).
Parkir percuma.
Agak mahal sebenarnya. Kenapa? Bacalah sehingga sudah. :)
Masuk sahaja ke dalam taman, kami disambut petugas ("Bang Lah") yang bersungguh-sungguh menyuruh kami bergaya depan kameranya.
"Free. Free. No need to pay."
Katanya. Kau percaya?
Aku senyum sahaja. Senyum paling manis. Sambil mengacung-acungkan
Kami teruskan sahaja, dan lensa EOS60D gagah perkasa melaksanakan tanggungjawab dengan setia. Sebenarnya, sudah agak lama beliau menyepikan diri. Risau juga dengan kualiti perkhidmatan si mesin hitam kesayangan ini.
Tiga hamparan bunga-bunga yang agak luas (sebesar gelanggang takraw setiap satunya, barangkali), memang memukau mata yang memandang. Setiap laman, dengan bunga yang berbeza warna. Sayang, hanya boleh bergambar dari sisi tepi. Kalau pihak pengurusan menyediakan lorong kecil di antara laman, tentu lebih cantik untuk bergambar. Atau memang boleh, dengan sedikit bayaran?
Kami meneruskan pendakian, untuk ke bahagian yang lain. Iya. Mendaki, kawan! Jika lutut mu sudah lagi tidak dapat memberi khidmat yang terbaik, lupakan sahaja niat untuk ke mari. Tiada tangga. Hanya jalan berturap yang mendaki.
Yang aku gemar, setiap lereng bukit dipenuhi dengan pokok-pokok bunga. Ada juga hiasan-hiasan yang agak ringkas, tetapi menarik.
Ke tingkat paling atas, ada sebuah kafe untuk menikmati produk "berasaskan" Cameron Highland. Teh, scone, pancake dan lain-lain. Ada juga ruangan jualan, juga produk Cameron Highland yang biasa. Kami langsung saja ke bahagian belakang, untuk ke taman bunga (dan kebun strawberi).
Bunga Gerbera.
Tetapi ramai juga yang kata bunga kekwa. Aku sendiri keliru.
Puas bergambar, kami mengundurkan diri. Tidak ada apa-apa yang menarik, selain bergambar dengan bunga-bunga yang berwarna-warni. Untuk keluar, perlu melalui deretan gerai yang menjual pelbagai jenis barang. Untuk pendekar kecil, kami belikan sehelai romper. Untuk kami berlima, jagung mutiara rebus buat habuan perut yang sudah kelaparan.
Manis. Banget!
Secara keseluruhan, tempat ini menarik untuk dilawati. Tetapi untuk mengulang lawat, rasanya tidak. Mungkin masih baru, jadi tarikan yang ditawarkan agak biasa-biasa. Kalau yang gemar bergambar, mungkin suka. Tetapi secara amnya, tidak setara dengan harga tiket yang dibayar. Sedikit sebanyak, aku bandingkan Cameron Lavender Garden dengan Rose Valley. Dan aku lebih suka Rose Valley, walaupun susun aturnya agak cacamarba.
Terpulang. Pilih.
Maklumat lanjut di http://cameronlavender.com/
0 Comments