Cukup-cukuplah.
Penat.
Kenapa? Biar saya ceritakan.
1. Semasa ke Belitong, saya disangkakan sebagai orang tempatan. Ya, itu memang boleh dijangka kerana susuk tubuh dan wajah saya tidak banyak berbeza dengan Barry Prima, hero filem Jaka Sembong. Kalau kena gaya, mungkin orang di sana sangka saya ini Mas Azam dari filem Ketika Cinta Bertasbih. Ya, begitulah.
2. Ketika mencuba jubah di Mekah, saya ditegur oleh seorang pakcik dengan berbahasa Arab yang fasih. Setelah diterangkan saya dari Malaysia, beliau terkejut. Katanya saya seperti orang Timur Tengah. Manalah dapat saya nafikan, kalau saya duduk bersebelahan dengan Humood Al Khudher, pasti orang ingat kami adik-beradik.
3. Ketika berkurta di India, ah, apa lagi saya mahu katakan. Nama Sharul dan Shahrukh itu pun bukan banyak beza. Begitu juga rupa, tetapi mungkin saya lebih iras kepada Ajay Devgan.
Itu lah antara kekeliruan jati diri yang terjadi dalam hidup saya. Dalam hal rupa dan pakaian.
Penat saya melayan kekhilafan ini.
Jadi, bila heboh perihal baju raya yang tidak lagi seperti dahulu, saya akur. Maka saya, seperti biasa memilih pakaian tradisi set baju melayu tiga lapis labuci, lengkap bersampin songket tenunan mesin, berserta songkok dihias tiga jambak bunga matahari di sisi, untuk lebaran kali ini.
Moga terserlah lah wajah Minang asal Pariaman saya.
Antara Baju Melayu, Jubah dan Kurta |
Selamat Hari Raya. Eid Mubarak. Id Mubarakoo.
Sharul Khan Al Khudher Onn,
Lelaki Berwajah Pan-Asian
Keturunan Minang Caucassian
0 Comments