[Buku] Soya Ais Peneram Madu (Shahkang)

Soya Ais Peneram Madu oleh Shahkang
Nilaian: 4 bintang
Terbitan: ITBM

Pembukaan 2017.

Saya memilih buku ini kerana dua sebab; satu harga runtuh diskaun di ITBM, dan kedua kerana nama Shahkang. Nama "Shahkang" mengingatkan saya pernah membaca buku beliau sebelum ini, UK Aku Mai.

Nyata kedua-dua buku beliau ini, berbeza. Buku Soya Ais Peneram Madu (SAPM) memperkenalkan saya semula dengan penulis. Bukan calang-calang pengalaman yang beliau genggam. Dan itu yang memusykilkan kenapa buku pertama dan kedua (saya baca) bagaikan dari dua orang penulis yang berbeza.

Soya Ais Peneram Madu
Soya Ais Peneram Madu


Koleksi cerpen dalam buku ini sangat menarik. Shahkang mahir dengan gaya personafikasi untuk menyampaikan mesej. Saya paling suka dengan Dialog Kota, "perbualan dan rintihan" dua kota besar. Begitu juga dengan cerpen Seekor Penunggu Bernama Tombul.

Isu-isu yang mahu disampaikan senang difahami. Memang berlaku dalam masyarakat sekeliling. Perkara biasa, tetapi cara penyampaian yang unik. Menjemput pembaca melihat satu persatu dan berfikir, bukan hanya membaca seperti rencana harian di media massa.

Bahasanya juga cantik. Shahkang memaksa saya mencari makna perkataan-perkataan yang jarang di dengar. Menambah tahu jumlah perkataan. Cuma perkataan "pawana" terlalu kerap diguna, hampir setiap cerpen. Ya, tidak salah. Tetapi apabila terlalu kerap, mengurangkan rasa teruja.

Koleksi cerpen ini saya fikir jarak terbitan antara satu sama lain mungkin jauh, tetapi apabila dijadikan buku semuanya berkumpul sebelah-menyebelah. Dan ini menjadikan pembacaan saya sedikit melonglai apabila menuju ke cerpen-cerpen akhir kerana saya rasakan kemuncak keseronokan hanya pada awal bab. Hampir semuanya berkonsepkan "personafikasi", dan "lebih kurang" sama sahaja antara satu sama lain. Ini yang saya rasa, mungkin tidak bagi orang lain.

Keseluruhannya buku ini baik. Mesejnya jelas dan sampai. Gaya yang baru, bagi saya.

Tahniah Shahkang!

Ulasan Buku Yang Lain





Reactions

Post a Comment

0 Comments